Calon BN DUN Kuala Semantan beri tumpuan kepada pendidikan
TEMERLOH, 29 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan Datuk Nor Azmi Mat Ludin berazam untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan menyelesaikan masalah golongan muda khususnya yang melibatkan isu permohonan tanah.
Beliau berkata Kuala Semantan, yang sebahagian besarnya berada di dalam kawasan pusat bandar Temerloh, memerlukan sebuah universiti dalam usaha menjadikan daerah itu sebagai hab pendidikan di titik tengah Semenanjung Malaysia.
Katanya sejak Kuala Semantan dipegang pembangkang sejak 10 tahun lepas, usaha untuk mendapatkan sebuah universiti tempatan di kawasan itu telah tergendala.
"Isu golongan muda sukar mendapatkan tanah juga akan diberi perhatian sekiranya BN berjaya merampas Parlimen Temerloh dan DUN Kuala Semantan khususnya," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pekan Sehari Temerloh di sini, hari ini.
Nor Azmi berkata pendekatan 'tidak memilih bulu' yang menjadi amalannya sepanjang hampir lima tahun berkhidmat sebagai penyelaras DUN Kuala Semantan berjaya mendekatkan dirinya dengan pengundi, yang memihak kepada pembangkang sebelum ini.
Menurutnya sebagai penyelaras DUN Kuala Semantan, beliau telah melakukan gerak kerja membantu rakyat di kawasan itu sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan ia dilakukan selepas melihat rakyat di kawasan itu tidak terbela di bawah pembangkang.
"Dalam tempoh 10 tahun pembangkang menguasai Kuala Semantan, banyak pembangunan yang sepatutnya diterima daripada kerajaan Persekutuan tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya akibat ketiadaan wakil rakyat kerajaan," katanya.
Namun, katanya, selepas beberapa tahun memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Kuala Semantan, akhirnya beliau merasakan jurang antara masyarakat dengan kerajaan berjaya dikurangkan.
Nor Azmi berkata beliau menyedari tugasnya bukan sekadar membantu kemenangan calon BN bagi Parlimen Temerloh Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin tetapi bertanggungjawab untuk merampas semula DUN Kuala Semantan daripada pembangkang.
"Saya percaya dengan jentera yang sudah lama bergerak, ia dapat memastikan kemenangan untuk BN bagi Parlimen Temerloh dan Kuala Semantan yang sudah terlepas ke tangan pembangkang sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA