Calon BN utamakan ilmiah dan galak orang muda berpolitik
SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang Mak Kah Keong mahu mengutamakan penguasaan ilmiah dalam kalangan anak muda serta menggalakkan mereka bergiat aktif dalam politik.
Mak, 33, yang merupakan calon BN paling muda di Negeri Sembilan berkata penguasaan dalam ilmu amat penting untuk seseorang itu berjaya.
"Kita dapat melihat para ilmuwan Islam yang mengkaji ilmu perubatan, matematik, astronomi dan sains kesemuanya mempunyai ilmiah yang sangat tinggi sehinggakan negara di Eropah mengguna pakai teori mereka sehingga hari ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Penasihat Undang-Undang Biro Aduan Kebangsaan Gerakan itu berhasrat untuk meningkatkan lagi taraf pendidikan rakyat di negeri ini sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.
Mak turut menggalakkan golongan muda untuk menceburi bidang politik agar mereka tahu apa yang sedang diusahakan oleh pemimpin dalam merencana pembangunan negara supaya minda mereka akan lebih terbuka.
"Peluang untuk melibatkan diri dalam politik itu ada buat golongan muda kerana mereka adalah tulang belakang dalam pentadbiran negara yang turut dipertanggungjawabkan dalam menentukan masa depan negara menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya.
-- BERNAMA