Pemerkasaan belia, wanita di Titiwangsa jadi keutamaan Johari 
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Usaha memenuhi keperluan pengundi muda dan wanita di kawasan Parlimen Titiwangsa akan menjadi keutamaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang akan mempertahankan kerusi itu bagi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Beliau berkata generasi muda dan wanita hari ini bukan sahaja mahukan kestabilan malah, mereka juga inginkan kehidupan yang lebih baik.
"Oleh itu, memperkasakan usahawan wanita, membina lebih banyak rumah mampu milik dan menambah baik pengangkutan awam di kawasan Titiwangsa akan terus menjadi keutamaan saya.
"Saya telah membantu banyak wanita menjadi usahawan berjaya bagi membolehkan mereka meraih lebih banyak pendapatan untuk keluarga, seperti menyediakan peralatan memasak dan membuat kuih-muih agar mereka boleh memulakan perniagaan sendiri," katanya kepada media pada acara berbasikal di Gelombang Kampung Bharu, yang menjadi sebahagian daripada acara pembuka tirai kempennya bagi PRU14.
Beliau turut memberi jaminan bahawa lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mampu Milik akan dibina untuk penduduk bandar.
Johari berkata beliau berharap penduduk bandar akan memanfaatkan sepenuhnya pengangkutan awam, yang beliau percaya dapat menjimatkan kos memiliki dan menyenggara kenderaan.
Beliau berkata kecekapan dan kebolehpercayaan pengangkutan awam juga merupakan antara faktor penyumbang ke arah pembinaan Malaysia sebagai negara maju.
Sementara itu, Johari menjangka persaingan sengit bakal berlaku di kerusi Titawangsa, yang beliau menangi dengan majoriti 866 undi pada PRU13.
Kerusi Parlimen Titiwangsa akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Johari (BN-UMNO), Rina Harun (PKR- PPBM) dan Mohamad Noor Mohamad (PAS).
--BERNAMA