Pembangunan untuk kesejahteraan rakyat - Shaziman
GEMAS, 29 April (Bernama) -- Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan sentiasa memikirkan aspek kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dalam memenuhi keperluan pembangunan sekali gus menjadikan Negeri Sembilan negeri yang maju.
Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang Parlimen Tampin Datuk Shaziman Abu Mansor berkata pelbagai program pembangunan dirancang dalam usaha untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan kehidupan rakyat di negeri ini.
Malah, katanya Daerah Kecil Gemas sendiri rancak dengan pelbagai pembangunan dan antara yang dapat dilihat adalah pembinaan banyak bangunan kedai, hotel dan Kem Syed Sirajuddin yang merupakan kem termoden yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Selain itu, yang terkini ialah pelaksanaan projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan dan transformasi lebih pesat Daerah Kecil Gemas secara keseluruhannya.
"Selain memberi manfaat kepada pengguna, perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur Sentral akan mengambil masa hanya empat jam manakala perjalanan dari Johor Bahru ke Padang Besar sejauh 915.7 kilometer hanya mengambil masa sembilan jam bila menggunakan ETS," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Merakyatkan Perkhidmatan Awam anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) bersama Pejabat Daerah Kecil dan Tanah Gemas di Dewan Besar dan padang awam Gemas di sini, hari ini.
Turut hadir di majlis itu ialah calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas Datuk Abd. Razak Ab. Said dan calon BN DUN Gemencheh Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan pemangku Pengarah LMNS Aziz Mohd Gorip.
Mengenai program itu, beliau berkata selain dapat mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat dengan jabatan dan agensi kerajaan, program itu juga memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk mengetahui secara dekat peranan yang dimainkan setiap jabatan dan agensi kerajaan .
-- BERNAMA