Pembinaan PPR di Batu Sapi akan ditambah
SANDAKAN, 30 April (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berjanji akan meluluskan permohonan bagi tapak tanah untuk menambah pembinaan rumah dibawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Batu Sapi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Beliau berkata kelulusan itu bagi memenuhi keperluan rakyat dikawasan itu selain menambah jumlah PPR yang terdapat di Taman Batu Sapi iaitu sebanyak 500 unit yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong.
"Saya setuju selepas pilihan raya barulah kita akan luluskan (tanah) di kawasan Batu Sapi ini, sekarang belum lagi," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sekolah Kebangsaan Bahagia, Batu Sapi yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dekat sini hari ini.
Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) PRU14 untuk kawasan Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin, calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong Datuk Samsudin Yahya dan calon BN untuk DUN Karamunting Lim Kai Ming.
Musa yakin sebanyak 2,000 unit PPR yang mahu dibina di kawasan itu pasti akan terlaksana secara berperingkat untuk keselesaan penduduk Batu Sapi.
"Percayalah, tiada kerajaan di dunia ini sebaik kerajaan BN yang terus membantu rakyat dengan pelbagai bantuan," katanya.
PPR Taman Batu Sapi telah dibina di tanah seluas 38 hektar dengan kos RM31.25 juta yang dirasmikan Najib pada 3 Mac lalu.
Sebanyak 180 unit di Blok B PPR itu sudah didiami dengan setiap unit mempunyai tiga bilik tidur dengan keluasan 700 kaki persegi selain menyediakan lima unit rumah untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), kemudahan empat lot kedai, gerai, dewan serbaguna, tempat letak kereta, taman permainan kanak-kanak, gelanggang bola tampar dan sepak takraw.
-- BERNAMA