PPBM Pasir Mas tutup bilik operasi DUN Tendong
PASIR MAS, 30 April (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Pasir Mas secara rasmi menutup pusat operasi parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong bermula Sabtu lepas, kata Timbalan Ketua PPBM Pasir Mas, Mat Samsudin Samat.
Beliau berkata tindakan itu diambil selepas tidak berpuas hati dengan tindakan Pengerusi PPBM Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor meletakkan Dr Wan Zulkhairi Wan Md Zain sebagai calon mewakili parti tersebut untuk bertanding di kerusi DUN Tendong pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata pada awalnya tiga calon dikemukakan PPBM Pasir Mas untuk bertanding di kawasan tersebut termasuk beliau sendiri.
"Sebelum ini Kamarudin berjanji untuk meletakkan calon daripada kepimpinan PPBM Pasir Mas sendiri kerana sentimen pengundi di kawasan ini yang lebih mempercayai calon anak tempatan berbanding calon luar," katanya sambil menambah ini tidak menjadi kenyataan.
Jentera parti PPBM Bahagian Pasir Mas akan memboikot aktiviti kempen yang dijalankan oleh calon PPBM DUN Tendong buat masa ini, katanya.
Mat Samsudin turut mendakwa kepimpinan PPBM negeri tidak berusaha menyatukan anggotanya walaupun tahu PPBM Bahagian berpecah kepada dua kumpulan.
-- BERNAMA