Calon DUN Sentosa mahu tingkatkan taraf hidup kumpulan B40




KLANG, 30 April (Bernama) -- Datuk Subramaniam T. Retnam, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa yang baru diwujudkan (sebelum ini DUN Kota Alam Shah), mahu meningkatkan tahap sosio ekonomi lebih 1,800 penduduk dalam kumpulan B40 yang tinggal di kawasan pilihan raya itu.

Ketua bahagian MIC Kota Raja itu yang lebih dikenali sebagai Datuk R.S Maniam berkata beliau mahu memperkenalkan skim insurans kumpulan bagi golongan di bawah segmen itu jika diberi mandat untuk mewakili mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.

"Ini akan melibatkan banyak wang tetapi saya mempunyai rancangan untuk membantu kumpulan B40 ini di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka," katanya kepada Bernama.

Ahli perniagaan berusia 64 tahun ini berkata beliau mahu menangani isu bangunan tinggi kos rendah yang tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang efisien, selain berganding bahu dengan kerajaan Persekutuan untuk memulihkan semula projek perumahan terbengkalai di Sentosa.

"Kami telah pun menyelesaikan isu JMB di apartmen Seri Ayu dan Golden Villa di Klang," katanya.

Subramaniam berkata beliau telah hampir 10 tahun berkhidmat kepada pengundi di Sentosa dan membuka sebuah khidmat di Jalan Sungai Jati, Klang.

"Saya tinggal di Sentosa sejak 28 tahun lepas dan sebagai calon anak tempatan, saya tahu denyut nadi dan keperluan rakyat," katanya dan menambah, terdapat lebih 20,000 pengundi India dalam kawasan pilihan raya itu.

Pada PRU14 ini, kerusi DUN Sentosa akan menyaksikan persaingan lima penjuru antara Subramaniam, Gunarajah R. Georgem (PKR), Rajan Manikesavan (PAS-DHPP), Telai Amblam Mariappan (PRM) dan Sundarajoo Periasamy (Bebas).

Dalam pilihan raya lepas, calon PKR V.Ganabatirau menang dengan majoriti 13,369 undi.

-- BERNAMA