Jangan terpedaya dengan calon transit pembangkang - Md Jais




File Bernama

KLUANG, 30 April (Bernama) -- Setiausaha Barisan Nasional (BN) Johor menasihati pengundi-pengundi di Parlimen Kluang supaya jangan terpedaya dengan hasutan pembangkang, yang hanya menamakan calon transit untuk merebut kerusi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selaku penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Datuk Md Jais Sarday berkata taktik pembangkang adalah dengan memburuk-burukkan kerajaan sepanjang kempen pilihan raya dan rata-rata pembangkang memainkan isu sensasi dengan memutar-belitkan fakta yang hanya untuk meraih perhatian pengundi.

"Sebagai contoh, isu di Negeri Sembilan yang menyaksikan Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding atas kesilapan calon mereka (pembangkang) sendiri yang tidak ikut peraturan.

"Tetapi, Rafizi (Naib Presiden PKR Rafizi Ramli) memutar belit fakta dengan menuduh kerajaan dan menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya sedangkan hakikatnya mereka yang silap. Jadi, masyarakat tengoklah sendiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengenai kempen PRU14 yang memasuki hari ketiga hari ini, Md Jais berkata beliau turut mengingatkan masyarakat supaya memberi kemenangan kepada BN demi nasib dan masa depan mereka.

Setakat ini, beliau mendapati BN khususnya di Parlimen Kluang mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai masyarakat khususnya kaum Cina.

"Saya yakin mereka (pengundi Cina) akan kembali menyokong BN selepas sedar kesilapan memilih pembangkang pada pilihan raya lepas.

"Mereka dapat lihat bagaimana kita (BN) bekerja dan setakat ini, sambutan masyarakat Cina nampaknya lebih baik dan mesra," katanya sambil menempelak tohmahan calon Parlimen Kluang dari PKR-DAP Wong Shu Qi yang mempersoal sumbangan wakil BN di Kluang.

"Ini menunjukkan dia (Wong) yang kononnya hendak berjuang di sini, tetapi tidak tahu apa-apa pasal Kluang. Jadi, saya minta dia jangan tipu rakyat dan saya minta orang Kluang juga jangan terpedaya dengannya," kata Md Jais.

Beliau menegaskan antara sumbangan BN di Kluang dalam tempoh lima tahun ini adalah mengatasi kesesakan trafik dengan menyediakan Jalan Lingkaran Tengah dari Stadium Taman Kluang Barat ke Jalan Mengkibol.

--BERNAMA