BN Titiwangsa sedia seribu kenderaan pada hari mengundi




File Bernama

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Titiwangsa akan menyediakan seribu kenderaan untuk mengambil dan menghantar pengundi ke pusat mengundi pada 9 Mei ini.

Calon BN Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata usaha itu bagi memastikan jumlah pengundi yang turun di kawasan itu meningkat, sekali gus mencerahkan peluang BN mempertahankan kerusi tersebut.

"Pada pilihan raya lepas, terdapat 4,000 pengundi terdiri daripada golongan veteran dan ibu tunggal yang tidak turun mengundi disebabkan tiada siapa yang bawa mereka dan tidak tahu di mana tempat mengundi.

"Ada juga yang lalai dan menangguh tanggungjawab mengundi serta menyelesaikan perkara lain terlebih dahulu hingga tidak sempat, malah ada yang terlalu yakin saya akan menang hingga tidak turun mengundi, sedangkan setiap undi adalah penting bagi saya," katanya yang berharap majoriti kerusi yang dimenangi BN itu mampu ditingkatkan berbanding 866 undi pada pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Santai Bersama Pesara di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Menteri Kewangan II itu turut mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan setiap parti yang memimpin kerajaan akan melaksanakan dasar dan kepentingan rakyat, sama seperti BN.

Johari berkata keseimbangan politik dan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada pihak yang mentadbirnya.

"Siapa cakap kalau tukar kerajaan sama saja? Lihat pada Syria, Iraq dan Afghanistan. Mereka telah hilang kestabilan politik disebabkan cuba menukar kerajaan dan hilang pelancong yang memberi sumbangan besar dalam ekonomi.

"Filipina yang dahulu semasa merdeka 1957 adalah negara kedua terkaya selepas Jepun, tetapi tengok sekarang pendapatan per kapita mereka hanya dua hingga tiga ribu dolar Amerika berbanding kita sekarang bawah kerajaan BN sebanyak 10 ribu dolar Amerika," katanya.

Katanya tiada kerajaan yang sempurna di dunia begitu juga BN, namun BN sentiasa menambah baik prestasi dan mendengar keluh kesah masalah rakyat.

Kerusi Parlimen Titiwangsa akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Johari (BN-UMNO), Rina Harun (PKR) dan Mohamad Noor Mohamad (PAS).

-- BERNAMA