BN tawar kemudahan, keselesaan untuk penduduk Parlimen Wangsa Maju




KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Wangsa Maju Datuk Seri Yew Teong Look hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menggariskan tujuh inisiatif utama bertemakan 'Membina Wangsa Maju di Masa Depan Dengan Cemerlang'. Yew, yang bakal berdepan saingan tiga penjuru calon PKR dan PAS untuk kerusi Wangsa Maju pada 9 Mei ini, antara lain menawarkan pemindahan kawasan Uptown Setapak Indah dan pembinaan sebuah Urban Transformation Centre (UTC) di Wangsa Maju. "Kita akan membina sebuah bangunan dua tingkat bersebelahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju...UTC di bahagian atas dan 600 gerai Uptown di tingkat bawah. "Semestinya, kawasan baharu yang lebih selesa untuk para peniaga selain memudahkan orang ramai untuk berurusan di UTC dan membeli- belah di Uptown," katanya. Yew, yang pernah memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada PRU11 pada 2004 berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan manifesto itu yang dikeluarkan dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin di sini, hari ini. Antara perkara lain yang digariskan dalam manifesto itu ialah memperkasa Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan pemindahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ke Wangsa Maju.

Manifesto itu turut memberi perhatian terhadap penyelesaian masalah lalu lintas, pembinaan 5,000 unit rumah mampu milik dan menaik taraf kemudahan di pusat keagamaan setiap kaum. Sementara itu, Yew berkata manifesto itu dirangka dengan mengambil kira maklum balas rakyat selain mengemukakan kesemua isi kandungan perjanjian itu ke ibu pejabat MCA untuk memastikan perkara yang dijanjikan dapat direalisasikan. "Sudah 15 tahun saya ada di sini (Wangsa Maju), apa yang BN janjikan sebelum ini sudah pun ditunaikan...kami komited dan kita mampu mencapai matlamat yang diinginkan," katanya. Parlimen Wangsa Maju mempunyai 88,482 pengundi berdaftar. -- BERNAMA