MCA, Gerakan Labuan sokong penuh Rozman

LABUAN, 30 April (Bernama) -- Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) - Gerakan, MCA dan MIC Labuan hari ini berikrar memberi sokongan kepada calon BN bagi mempertahankan kerusi parlimen Labuan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Parti-parti itu akan berusaha menentukan lebih daripada 20 peratus pengundi Cina di pulau ini mengundi calon BN. Terdapat 28,356 orang yang layak mengundi.
Pengerusi Gerakan Labuan Datuk Oi Thiam Beng berkata partinya optimistik calon BN Labuan Datuk Rozman Isli akan menang besar dengan sokongan penuh parti-parti komponen.
"Rozman telah berjaya mewujudkan perpaduan dalam mesyarakat berbilang kaum.
"Beliau bekerja keras dalam lima tahun lepas demi menentukan Labuan makmur dan kebajikan rakyat dijaga," katanya.
Pemimpin MCA Datuk Chin Hon Vui berkata Rozman telah mengutarakan perlunya kerajaan membantu merancakkan semula ekonomi pulau ini selepas terjejas teruk akibat kejatuhan harga minyak yang mencetuskan pengangguran.
Pengerusi MIC Labuan Datuk Ramasamy Rengasamy berkata Rozman membawa masuk banyak pelaburan dan pembangunan.
Antara projek pembangunan diusaha semasa penggal perkhidmatannya ialah jambatan Labuan-Menumbok, sukan air ekstrem Perlumbaan P1 Powerboat, BVO premium outlet (pusat beli belah) dan projek jalan pantai, sebagaimana digariskan dalam Blueprint Pembangunan Labuan 2030.
Sementara itu, dalam kempen hari keduanya hari ini, Rozman antara lain, mengadakan sesi pertemuan dengan 100 pemandu teksi di Labuan Golf Club di sini dan menyampaikan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia.
Kad berkenaan mempunyai nilai RM800 untuk tujuan membeli petrol atau gas NGV di stesen Petronas.
Kad itu melayakkan pemegang mendapat faedah lain di bawah program setia Petronas Mesra, yang termasuk liputan kemalangan peribadi hingga RM50,000.
-- BERNAMA