Anggota, penyokong parti BN disaran jadi ejen kempen PRU14
PASIR SALAK, 30 April (Bernama) -- Anggota dan penyokong parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) disaran menjadi ejen kempen yang dapat meraih kemenangan bagi calon-calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata mereka boleh bertindak sebagai ejen untuk berkempen dengan menyasarkan sekurang-kurangnya lima hingga 10 individu dalam usaha meraih undi rakyat sebanyak yang mungkin.
"Alangkah baiknya kalau semua penyokong dan anggota parti mendekati rakyat seperti ahli keluarga, rakan sekerja, jiran tetangga serta saudara mara dengan menerangkan isu dan dasar-dasar kerajaan BN kepada mereka.
"Saya melihat kalau kita mendapatkan sokongan dan komitmen serta semangat yang tinggi daripada anggota dan penyokong parti dengan menjadi ejen yang melaksanakan kempen pilihan raya, kita (BN) mampu menang besar dan berpeluang meningkatkan undi majoriti berbanding PRU lalu," katanya.
Tajuddin yang mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan masyarakat setempat di Kampung Gajah di sini, hari ini.
Sebagai contoh, katanya, penyokong dan anggota parti Bahagian Pasir Salak telah menjadi ejen kempen BN sejak dahulu lagi dan ia terbukti berkesan apabila majoriti undi meningkat sebanyak 300 peratus pada PRU13.
Pada PRU itu,Tajuddin menang dengan majoriti sebanyak 7,386 undi untuk menewaskan calon PKR Mustaffa Kamil Ayub.
-- BERNAMA