BN komited realisasi penubuhan sekolah Inggeris di Sabah




KOTA KINABALU, 30 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited merealisasikan projek rintis penubuhan sekolah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan di Sabah dan Sarawak, sebagaimana Manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata perjuangan itu adalah antara tumpuan utama pemimpin dari kedua-dua negeri, demi kepentingan rakyat kerana menyedari Sabah dan Sarawak sudah bersedia memiliki semula sekolah aliran berkenaan.

Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Sepanggar berkata penubuhan sekolah aliran Inggeris itu antara lain adalah sebagai langkah untuk mengurangkan jurang perbezaan antara pelajar Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, selain usaha memperkasa modal insan di negeri itu.

"Ia juga bagi memastikan Sabah dan Sarawak boleh berjalan dan mengorak langkah lebih pantas untuk setanding dengan Semenanjung dalam arus pembangunan," katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman merasmikan Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat Peringkat Zon Pantai Barat Selatan, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata semua calon BN Sabah yang bertanding pada pilihan raya kali ini perlu menerangkan lebih terperinci kepada rakyat mengenai manifesto BN bagi membolehkan mereka memahami konteks kaitan manifesto tersebut dengan rakyat Sabah.

Ini termasuk mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut terkandung dalam manifesto BN tidak hanya pada peringkat nasional tetapi juga peringkat negeri, katanya.

"Tanpa kompromi dan sudah tentu, kita pastikan hak negeri dan rakyat Sabah diberikan penekanan dalam manifesto BN. Kita bukan lagi menuntut untuk dibincangkan, kita mahu supaya semua keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Penurunan Kuasa daripada kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri, harus dilaksanakan dalam lima tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA