Deklarasi Panmunjom menampakkan sedikit cahaya harapan
Oleh Askiah Adam
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Deklarasi Bersama Panmunjom oleh Korea Utara dan Korea Selatan akhirnya menjadi kenyataan dan kata sepakat yang dicapai untuk mengeluarkan Deklarasi itu benar-benar mengejutkan dan dunia amat mengalu-alukannya.
Ia mengambil masa tidak lama selepas Sukan Olimpik musim sejuk di Korea Selatan dan di tengah-tengah persaingan sukan antara negara.
Apabila laluan ke arah keamanan semakin menampakkan cahaya, Pemimpin Korea Utara dan Korea Selatan menanam pokok sebagai simbol keamanan dan berjabat tangan dan pada satu ketika berjalan seiring dengan berjanji kepada rakyat Korea Utara dan Korea Selatan untuk mewujudkan keamanan.
Bagi dunia, jika janji itu ditunaikan, maka satu lagi medan peperangan dapat dielakkan.
Percubaan untuk mencapai keamanan pernah dijalankan sebelum ini tetapi tidak berjaya untuk mewujudkan keamanan yang abadi dan penyatuan Semenanjung Korea. Perang Korea (1950 hingga 1953) berakhir tanpa mencapai perjanjian damai.
Sebaliknya, perjanjian gencatan senjata merangkumi Semenanjung itu yang ditandatangani adalah begitu rapuh dan mudah dicabuli. Tetapi kali ini, situasinya jauh berbeza sama sekali .
Atas kesedaran untuk mewujudkan keamanan, pemimpin Korea Selatan, Moon Jae-in, yang telah lama memperjuangkan keamanan dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mencapai kesepakatan untuk menghentikan segala permusuhan.
Pada Jumaat lepas, Kim Jong-un berjalan melintasi garisan ketenteraan yang memisahkan semenanjung itu dan menjejakkan kaki di wilayah Korea Selatan - kali pertama oleh seorang pemimpin Korea Utara.
Sejarah jelas menunjukkan bahawa keamanan hanya boleh dicapai melalui usaha dari luar Semenanjung Korea. Ini kerana Perang Korea yang walaupun medan perangnya tertumpu di Semenanjung Korea, ia sebenarnya merupakan pertembungan antara dua kuasa besar dunia sekarang, China dan Amerika Syarikat.
Bagi China, mesejnya jelas. Keamanan di sepanjang sempadannya adalah amat dialu-alukan sedangkan sebelum ini, Washington tidak mudah menerima bahawa keamanan di Semenanjung Korea memberi sebarang kebaikan kepadanya. Dan Semenanjung Korea yang dilucutkan senjata nuklear adalah sebahagian daripada Deklarasi Panmunjom.
Memang ada sebab untuk bersikap optimis kali ini kerana Washington dan Beijing mungkin memperakukan Deklarasi itu. Malangnya satu faktor yang boleh menjadi penghalang ialah sikap neo konservatif yang mendalam oleh Amerika Syarikat.
Mereka berada dalam keadaan tidak tergesa-gesa untuk mendekati keamanan, bukan di Semenanjung Korea atau di tempat lain.
-- BERNAMA