Berjasa masih bersama Gagasan Sejahtera - PAS




KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) masih berada dalam Gagasan Sejahtera walaupun ada anggotanya dilaporkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di kerusi ditandingi PAS, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata tindakan beberapa anggota Berjasa itu adalah di luar persetujuan Gagasan Sejahtera kerana persetujuan sebelum ini adalah bagi Berjasa meletakkan calon di dua kerusi bagi mewakili gagasan dengan menggunakan logo PAS iaitu di Parlimen Selayang dan Parlimen Tanjung Piai.

"Manakala calon-calon lain yang bertanding atas lambang Berjasa itu di luar Gagasan Sejahtera sebab kerusi-kerusi yang mereka tandingi telah pun diletakkan calon PAS dan kita tidak keluarkan watikah calon kepada mereka," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini.

Gagasan Sejahtera terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Berjasa.

Media sebelum ini melaporkan PAS dan Berjasa yang sebelum ini membentuk Gagasan Sejahtera bertembung di tiga kerusi iaitu Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau dan DUN Sungai Manik yang membawa kepada spekulasi bahawa Berjasa keluar daripada kerjasama itu.

Takiyuddin berkata jentera PAS hanya akan berkerja membantu calon PAS sahaja di ketiga-tiga kerusi tersebut.

Dalam sidang media sama, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta anggota PAS mengadakan solat hajat dan berdoa agar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat kemenangan dalam kes saman fitnah terhadap Editor Sarawak Reports, Clare Rewcastle Brown, dalam perbicaraan yang bermula hari ini di Mahkamah Tinggi London.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April lalu susulan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 'menarik' kepimpinan PAS menyokong Barisan Nasional dan UMNO.

-- BERNAMA