Penyandang DUN Guar Sanji bantu calon muka baharu BN kempen
ARAU, 30 April (Bernama) -- Walaupun tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Jafperi Othman tidak terasa hati, sebaliknya sedia membantu calon muka baharu bagi memastikan kawasan itu kekal milik Barisan Nasional (BN).
Jafperi berkata setelah Afifi Osman diumumkan sebagai calon bagi DUN Guar Sanji, beliau tetap memanjatkan kesyukuran kerana berpeluang berbakti untuk rakyat di kawasan berkenaan selama tiga penggal.
"Saya tetap meneruskan program seperti biasa, turun ke lapangan bersama calon untuk perkenalkan calon kerana dalam masa yang singkat ini, calon perlu bergerak untuk bertemu dengan seberapa banyak pengundi dalam DUN Guar Sanji (lebih 9,000).
"Dengan pengalaman selama 15 tahun (sebagai wakil rakyat), saya akan curahkan sepenuhnya kepada calon baharu untuk pastikan BN terus menguasai kerusi DUN ini," katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa rumah pengundi bersama Afifi di Jelempok dekat sini, petang tadi.
Sementara itu, Afifi berkata sebaik diumumkan sebagai calon DUN Guar Sanji, beliau terus berjumpa dengan Jafperi dan sangat berbesar hati apabila mendapat sokongan penuh daripada penyandang kerusi DUN berkenaan.
"Beliau (Jafperi) menyatakan kesediaannya untuk bersama-sama menggerakkan jentera untuk pilihan raya ini dan perkara ini sangat bermakna bagi saya,
"Beliau juga berpesan kepada saya agar memaklumkan segera kepadanya jika ada masalah berat yang tidak mampu saya tangani, beliau akan membantu," kata Afifi.
Afifi mengakui tanggungjawab yang harus digalas seorang calon sangat besar dan corak gerak kerja bagi pilihan raya kali ini juga berbeza walaupun beliau mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam politik.
"Sebelum ini saya buat kerja untuk orang, tapi kali ini saya kena minta orang buat kerja bersama saya, ini cabaran bagi saya," katanya.
-- BERNAMA