Aplikasi digital perhebat kempen BN
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Bagaikan berada di set penggambaran filem futuristik, Barisan Nasional (BN) kini membawa teknologi 'Augmented Reality (AR)' dan hologram ke dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Melalui aplikasi 'HebatkanNegaraku' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple Apps Store, pengundi boleh melihat dan mendengar aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua calon Parlimen BN dalam bentuk tiga dimensi (3D).
Imej 3D tersebut akan terpapar dan bercakap apabila kamera telefon pintar dihalakan ke arah poster pilihan raya BN yang memaparkan gambar Najib dan calon parlimen kawasan masing-masing serta slogan 'Hebatkan Negaraku'.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika melancarkan aplikasi kempen digital itu, berkata teknologi berkenaan akan mendekatkan lagi pengundi dengan BN selain dapat mengenali calon kawasan masing-masing.
"Mereka dapat melihat dan mendengar apa yang dikatakan Perdana Menteri dan calon BN secara maya tentang aspirasi masa depan negara," katanya.
Selain itu, Tengku Adnan berkata BN juga akan memaparkan imej Perdana Menteri dalam bentuk hologram yang dipancarkan menerusi kontena.
Katanya lapan kontena akan digunakan dan dibawa menggunakan lapan buah lori 10 tan yang akan ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara.
Lima daripada lori-lori tersebut atau 'Hologram Truck' akan digerakkan di Semenanjung Malaysia dan tiga lagi di Sabah dan Sarawak.
Jelasnya lagi dimensi baharu dalam berkempen itu juga akan memuatkan mesej dan idea perdana menteri dalam memacu pembangunan negara dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Kerja BN Datuk Seri Abu Khamis.
-- BERNAMA