Manifesto BN N.Sembilan perbanyakan rumah mampu milik
Oleh Amanina Mohamad Yusof
SEREMBAN, 1 Mei (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk memperbanyakkan lagi pembinaan rumah mampu milik pastinya melegakan golongan belia dan berpendapatan rendah untuk memiliki hartanah sendiri.
Pekerja swasta Mohd Amsyar Arfi, 20, berkata rumah mampu milik seperti yang terkandung dalam Dasar Perumahan Negeri Sembilan itu dilihat sangat berpatutan, bermula pada harga RM80,000 untuk rumah teres setingkat.
"Negeri Sembilan pun sekarang dah jadi tumpuan warga luar terutamanya dari Lembah Klang untuk beli rumah di sini, dan macam yang kita tahu, bila banyak permintaan harga akan melonjak naik," katanya kepada Bernama.
Mohd Amsyar berkata menerusi Portal Perumahan Negeri Sembilan, mereka yang berminat perlu mendaftar menerusi portal itu sebelum permohonan mereka diproses Unit Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan.
Sementara itu, jurutera projek di syarikat swasta Megat Ariff Othman Razali, 25, berkata dia menyokong penuh manifesto BN yang menekankan tawaran untuk menambah rumah mampu milik terutamanya bagi membantu golongan B40 di negara ini.
Megat Ariff Othman berkata walaupun dia bekerja di Cheras, Kuala Lumpur, tetapi dia bercadang untuk membeli rumah pertamanya di negeri ini berikutan harga dan jenis kediaman yang ditawarkan sangat berpatutan, selain dekat dengan rumah keluarganya.
Manifesto BN Negeri Sembilan bagi Pilihan Raya Umum ke-14, BN menggariskan pelbagai tawaran di bawah kluster Perumahan yang menjamin pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat di negeri ini.
Pembinaan Program Perumahan Rakyat Chembong di Rembau sebanyak 452 unit rumah teres setingkat yang dikhaskan untuk mereka berpendapatan bawah RM1,500 juga akan disiapkan.
Selain itu, BN turut berjanji untuk mewujudkan penempatan baharu, Desa Sutra, menerusi Program Perluasan Kampung di bawah Pelan Halatuju Luar Bandar dan menyelesaikan permasalahan pemilikan surat hak milik bagi 300 penduduk Rumah Awam Harga Rendah (RAHR) Kerajaan Negeri.
Manifesto itu juga menyebut 10 skim RAHR akan dipertingkat melalui penumpuan kepada kejiranan selamat, pengindahan landskap, kejiranan bersih dan infrastruktur berkualiti.
-- BERNAMA