Ketua bahagian tidak tercalon perlu beri sokongan kepada calon
Datuk Serui Ahmad Bashah Md Hanipah (Gmbar fail Bernama)
ALOR SETAR, 1 Mei (Bernama) -- Ketua-ketua bahagian yang tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu menyisihkan kepentingan peribadi bagi memastikan kemenangan parti dengan memberi sokongan kepada calon yang bertanding.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sebagai ketua bahagian, mereka perlu memberi komitmen yang tinggi kepada parti bagi memastikan gerak kerja yang mantap untuk membantu calon yang terpilih.
"Mereka (ketua bahagian) faham kenapa tidak dipilih menjadi calon kerana sudah dimaklumkan oleh kepimpinan tertinggi jadi mereka ada sifat berjiwa besar dan menunjukkan kesetiaannya dengan terus membantu BN memastikan kemenangan calon tersebut."
"Bagi sokongan penyokong pula, mungkin berlaku sedikit masalah apabila calon pilihan mereka tidak tersenarai pada PRU kali ini tetapi itu pada peringkat awal sahaja. Sekarang saya rasa semuannya sudah boleh menerima calon yang dipilih," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jualan Rakyat di sini, hari ini.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN negeri berkata beliau melihat pergerakan calon dalam tempoh berkempen ini juga berjalan dengan lancar dan semua 672 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Kedah telah digerakkan bagi membantu parti.
"PDM ini akan menjadi jentera penggerak kepada calon yang dipilih dan ia juga menjadi penentu kemenangan untuk BN dengan menjalankan tugas termasuk mendapat maklumat, mendapat respons pengundi dan menyelesaikan masalah mereka."
"Saya lihat kempen semakin rancak dan sekiranya ada kekurangan kita ada pasukan yang memantau bagi memastikan masalah dan bantuan yang diperlukan pengundi dapat dipenuhi," katanya.
-- BERNAMA