Calon wanita penting bagi suarakan isu ke peringkat tertinggi
Oleh Shaidathul Suhana Ros
MELAKA, 1 Mei (Bernama) -- Pertambahan calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah penting bagi memberi ruang dan peluang lebih luas kepada golongan itu menyuarakan isu yang dekat di hati mereka ke peringkat lebih tinggi.
Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah berkata selain diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi yang disandang, penyertaan golongan wanita muda sebagai calon adalah selari dengan pertambahan pengundi muda dalam PRU kali ini.
"Pelbagai masalah membabitkan kaum wanita akan dapat disuarakan di samping dalam usaha sama-sama membangunkan negara, paling utama wanita mahukan keselamatan dan keamanan serta persekitaran yang sihat untuk membesarkan anak-anak."
"Ia satu kelebihan kepada pucuk pimpinan kerana kualiti kepimpinan wanita muda telah diangkat untuk dijadikan pembuat dasar, dan ini juga menunjukkan keikhlasan serta kepercayaan pimpinan tertinggi kepada mereka," katanya kepada Bernama.
Sebanyak 251 wanita dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen atau DUN daripada jumlah keseluruhan 2,333 calon PRU14.
Daripada 727 kerusi iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 DUN yang dipertandingkan, Barisan Nasional (BN) menampilkan 92 calon wanita berbanding 40 calon pada PRU13 dan 36 calon wanita pada PRU12.
Haryaty, yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka berkata calon wanita yang ramai pada PRU14 membuktikan martabat wanita semakin diangkat ke tahap yang tinggi dan merupakan satu penghormatan kepada wanita di negara ini.
"Ia sekali gus diharapkan hasrat negara untuk mencapai 30 peratus wanita dalam politik dan pembuat dasar dapat direalisasikan."
"Wanita muda boleh diberi peluang kerana kita yakin dalam kalangan mereka ada yang berpotensi untuk diketengahkan dan pada masa sama kita lihat jumlah pengundi muda melebihi 40 peratus, sememangnya agak tinggi," katanya.
Beliau berkata ramai calon wanita yang menjadi penyandang bagi kerusi Parlimen dan DUN juga dilihat sebagai platform terbaik untuk wanita menyuarakan hak dan kepentingan gender di semua peringkat masyarakat seiring dengan pembangunan negara.
"Wanita adalah golongan 'multitasking'. Mereka yang bekerja mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi pada masa sama turut memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Sokongan kerajaan dalam memastikan keadaan golongan wanita ini lebih stabil amat diperlukan."
"Misalnya mereka mahukan anak dengan penjagaan taska yang sempurna, aspek kerjaya pula dengan tempat kerja yang selamat. Suara calon inilah yang memainkan peranan dan apabila semua pihak memahami kehendak kaum wanita, mereka akan lebih bahagia di bawah kepimpinan BN," katanya.
Haryaty berkata calon wanita dilihat mempunyai latar belakang yang hebat dan melepasi kriteria yang ditetapkan pucuk pimpinan BN bagi menjadi wakil rakyat selain mampu mengetengahkan idea dan melaksanakan program pembangunan rakyat di kawasan yang diwakili.
-- BERNAMA