Video ceramah tiada sambutan adalah palsu - Syamsul Debat
File Bernama
SEREMBAN, 1 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri Sikamat Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat hari ini menyelar perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan video palsu ceramahnya tiada sambutan.
Katanya penyebaran video tersebut hanya bertujuan menjatuhkan imej dan reputasinya.
"Saya terkejut sebab bila masa pula ceramah saya tiada orang," katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Surau Taman Sri Penaga di Sikamat, dekat sini hari ini.
Sementara itu, mengulas lanjut perkara tersebut, pembantu peribadinya yang juga personaliti program motivasi dan keagamaan, Muhamad Khushairi A. Rashid berkata rakaman tersebut telah diolah dengan niat untuk memburukkan Syamsul.
"Pihak kami telah memeriksa rakaman tersebut dan ucapan Syamsul dalam rakaman itu sebenarnya dibuat semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016," katanya di sini.
Malah katanya pihak mereka juga tidak pernah menganjurkan program ceramah seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan.
Video berdurasi 45 saat itu yang tular di media sosial sejak semalam, memaparkan suasana ceramah yang tidak mendapat sambutan dengan tempat duduk kosong dan berlatarbelakangkan suara Syamsul.
Bagaimanapun video itu tidak menunjukkan kelibat Syamsul.
-- BERNAMA