Calon BN Kuah ada strategi khusus tawan pengundi muda





LANGKAWI, 1 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan mempunyai strategi khusus untuk mendekati pengundi muda di kawasan yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Katanya golongan pengundi berumur 30 tahun ke bawah mewakili kira-kira 40 peratus daripada 21,400 pengundi yang berdaftar di kawasan DUN ini yang perlu disantuni dengan kaedah yang bersesuaian.

"(Untuk memenangi pengundi) orang muda ini kita tak perlu berkempen dengan (berucap) berdegar-degar sebab mereka boleh baca, boleh dapat maklumat dengan mudah sekarang," katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) di sini.

Menurut penyandang kerusi DUN itu sejak PRU13, beliau telah mengadakan banyak aktiviti sukan dan riadah yang membolehkannya mendampingi golongan belia di pulau ini sekali gus menggalakkan mereka terlibat dalam kegiatan sosial yang sihat.

"Ekoran daripada selalu membuat pertandingan futsal (satu daripada aktiviti sukan yang sering dianjurkannya), saya sudah mendapat gelaran YB futsal dalam kalangan belia di sini," katanya dalam nada berseloroh.

Selain kegiatan riadah, Nor Saidi berkata beliau sudah merangka perancangan untuk memenuhi hasrat golongan belia di sini supaya bidang pekerjaan dan peluang mendapat pendapatan dipelbagaikan lagi di Langkawi.

"Langkawi tidak ada masalah pengangguran dalam kalangan belia tetapi mereka mahukan lebih banyak peluang untuk meningkatkan pendapatan. Salah satu caranya melalui keusahawanan dalam talian dan saya sedang mengenal pasti mekanisme yang sesuai untuk merealisasikan perkara ini," katanya.

Beliau berkata menghadapi calon lawan yang lebih muda bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah dan beliau menghormati semua calon yang dihadapinya dalam pertembungan empat penjuru di kawasan itu.

"Masing-masing ada kekuatan, masing-masing ada pendekatan. Kita tak boleh kata pendekatan kita terbaik, orang lain tak baik. Cuma dalam soal ini, kita menawarkan satu pakej perkhidmatan...saya dengan cara saya, mereka dengan cara mereka," katanya.

Dalam PRU14 9 Mei ini, Nor Saidi ditentang oleh calon PKR-PPBM Mohd Firdaus Ahmad, calon PAS Mazlan Ahmad dan calon Bebas, Mohamad Ratu Mansor.

-- BERNAMA