Tolak DAP tidak bangunkan orang Melayu - Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan majlis pecah tanah projek pelebaran jalan Taman Pasir Putih ke Taman Kota Masai dari dua lorong ke empat lorong di Pasir Gudang hari ini.
JOHOR BAHRU, 1 Mei (Bernama) -- Rakyat negeri ini terutamanya masyarakat Melayu diminta menolak DAP yang ternyata tidak mempunyai sebarang tawaran atau perancangan untuk membela dan membangunkan golongan Melayu.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata parti pembangkang itu perlu ditolak kerana ia sentiasa membantah perkara yang berkaitan pembangunan masyarakat Melayu dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu orang Melayu.
"Parti-parti pembangkang yang bertanding tidak mempunyai tawaran untuk orang Melayu...kalau kita tengok, DAP pun sentiasa 'bantai' Dasar Kewangan Islam dan semua perkara berkaitan dasar berkenaan."
"Ketika ini, antara perkara yang kerajaan cuba laksanakan selain berdagang adalah melaksanakan Dasar Kewangan Islam, yang kita lihat DAP dan sekutunya selalu 'bantai' Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelebaran Jalan Kota Masai 1, di Jalan Canggung di sini, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata ini berbeza dengan kerajaan BN yang telah sekian lama mempunyai pelbagai dasar dan pelaksanaan untuk memajukan orang Melayu.
"Anda pernah dengar apa-apa tawaran dari pembangkang sehingga boleh menyebabkan tsunami Melayu? Kita di BN, kita ada Dasar Kependudukan Melayu di bandar, apa pendirian DAP? Kita ada Dasar Meningkat Tanah Rizab Melayu, apa pendirian DAP? Jadi mereka tidak ada tawaran untuk orang Melayu."
"Jadi, saya menyeru dan mengingatkan semua orang Melayu bahawa tidak ada tawaran untuk orang Melayu. Jadi, pastikan sokongan diberikan kepada BN...walaupun kita ada calon bukan orang Melayu tetapi mereka ini menyokong dasar-dasar kita. Jadi pastikan BN menang," katanya.
Mengulas mengenai kejadian seorang warga emas ditolak dari atas pentas oleh penyokong gabungan pembangkang PKR yang didakwa berlaku di Yong Peng Street di sini, Mohamed Khaled berkata kekerasan itu tidak seharusnya berlaku.
"Kita berpolitik untuk memilih wakil rakyat yang terbaik dan kerajaan yang memerintah, jadi tidak perlu guna kekerasan. Ini kerana kempen ini hanya berlangsung beberapa hari dan selepas ini kita kena bina semula permuafakatan antara kita," katanya.
Dalam satu rakaman video berdurasi 31 saat yang tular di media sosial, seorang warga emas yang memakai baju BN ditolak oleh seorang lelaki dari sebuah pentas.
-- BERNAMA