Tiada istilah zon selesa bagi DUN Bayu - Calon BN





BALING, 1 Mei (Bernama) -- Tiada istilah zon selesa dan syok sendiri walaupun bertanding di kawasan yang diyakini menang, kata calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Mohamed Noor Mohamed Amin.

Katanya walaupun DUN Bayu itu dikategorikan sebagai kawasan 'putih', beliau perlu bekerja keras berkali ganda untuk memastikan kemenangan terus berpihak kepada BN.

"Pertandingan ini macam main bola sepak. Selagi wisel penamat tidak ditiup, selagi itu kena kerja keras dan tekanan sentiasa tinggi dalam memastikan zon putih BN terus kekal putih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sepakan Penalti Pemuda dan Veteran Di Padang Awam Kampung Lalang Mukim Siong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Noor yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling berharap pengundi luar yang pulang mengundi pada 9 Mei nanti memperoleh maklumat tepat mengenai sosiopolitik di Bayu dan Baling.

"Kita tak begitu bimbang dengan pengundi muda yang bermastautin di sini kerana mereka dah nampak dan faham keadaan politik di sini. Cuma saya mengharapkan anak Baling yang bekerja dan tinggal di luar, jangan terpedaya dengan perkara-perkara yang dibawa pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, calon BN ketika itu Datuk Azmi Che Husain menewaskan calon PAS Mahmud Yaakob dengan majoriti 4,132 undi.

Kali ini, Mohamed Noor dicabar oleh calon PKR Abdul Rahim Kechik dan Abdul Nasir Idris daripada PAS.

-- BERNAMA