Calon BN Di Sri Tanjong tekad jadikan Tawau bandar pertanian moden




Lo Su Fui (dua, kanan) beramah mesra dengan warga emas Kampung Imam Sambakong, Jalan Apas ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 hari ini.

TAWAU, 1 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong, Lo Su Fui menetapkan tekad permulaannya untuk mentranformasikan Tawau menjadi bandar pertanian dan perikanan moden melalui mandat diberikan kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Lo, 37, berkata menerusi mandat itu juga landskap bandar tersebut akan seterusnya diubah kepada lebih maju dan terkenal di negara ini terutamanya dalam sektor perniagaan.

"Misalnya, selama ini, hasil tangkapan nelayan (hanya) dijual terus kepada pengguna, tanpa memikirkan sesuatu (yang boleh dijadikan barangan eksport) yang boleh meningkatkan pendapatan mereka."

"Sebagai ahli perniagaan, saya tahu aspirasi peniaga di Tawau, dan apa kehendak para peniaga khususnya daripada kaum Cina di sini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kepada 22 warga emas di Jalan Imam Sembakong di sini.

Lo, yang juga Setiausaha Gabungan Dewan Perniagaan Cina Negeri Sabah, berkata bagi merealisasikannya pengundi di DUN Sri Tanjong perlu menggunakan hak mengundi dengan bijak dan memberi sokongan kepada calon yang boleh membantu menaikkan taraf hidup masyarakat serta membawa pembangunan.

Bagi PRU14, Lo menerima saingan daripada calon DAP Wong Sze Phin, Pang Thou Chong (Parti Harapan Rakyat Sabah) serta Leong Yun Fui (Parti Kebangsaan Sabah) dengan 26,400 pengundi berdaftar.

Lo menggunakan strategi kempen bertemu rakyat dari rumah ke rumah kerana pendekatan itu lebih berkesan dalam mendekati rakyat.

"Saya anak orang kampung, dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana kampung di tepi sungai di Batu 15 Jalan Apas di sini."

"Saya yakin kunjungan rumah ke rumah bertemu rakyat itu boleh menyentuh hati mereka dan mereka berasa dihormati," katanya.

-- BERNAMA