Pentingkan parti berbanding calon - Tajol Rosli




Tan Sri Mohd Tajul Rosli Ghazali (Gambar fail Bernama)

IPOH, 1 Mei (Bernama) -- Para penyokong Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO harus meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan berbanding calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kata bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

Tajol, Menteri Besar Perak ke-9 dari tahun 1999 hingga 2008 itu berkata permasalahan dalaman parti harus diketepikan untuk memastikan calon BN terus mencatatkan kemenangan dan mendapat mandat pada PRU14.

"Saya datang ke Tambun bukan kerana (calon BN bagi kerusi Tambun) Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah tetapi kerana beliau bertanding atas tiket BN. Ini kerana Umno dan BN adalah lebih hebat dan penting daripada individu."

"Itu sebab kalau (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding atas tiket BN bagi kerusi Langkawi, saya akan ke Langkawi untuk menunjukkan sokongan saya kepada beliau tetapi Tun (Dr Mahathir) bertanding atas tiket PKR."

"Bukan kita tidak sayang Tun (Dr Mahathir) tetapi kita lagi sayang UMNO? Saya akui sumbangan dan jasa Tun (Dr Mahathir) kepada negara dan saya secara peribadi, tetapi kerana beliau tidak bertanding atas tiket BN, kita tidak dapat menyokong beliau," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, Tajol Rosli bersama Ahmad Husni menghadiri ?Jom Minum Pagi Bersama Penduduk Manjoi' di Kampung Tengku Hussin Baru di sini.

Sementara itu, Tajol Rosli menyaran pengundi terus memberikan sokongan kepada calon BN bagi kerusi Parlimen Tambun dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Hulu Kinta dan Manjoi.

Ahmad Husni akan mempertahankan kerusi Parlimen Tambun yang disandangnya sejak 1995.

Beliau dicabar Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Ketua Dewan Ulama Perak, Muhamad Zulkifli Mohd Zakaria.

-- BERNAMA