Pengamal media digalakkan guna Pusat Media di semua pejabat penerangan negeri





KUCHING, 1 Mei (Bernama) -- Pengamal media disaran menggunakan kemudahan Pusat Media yang disediakan di semua pejabat Jabatan Penerangan Malaysia di peringkat negeri, khusus bagi membantu mereka menyiapkan tugasan dan laporan berita yang tepat dan sahih berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Jabatan Penerangan, Datuk Almain Ajirul berkata pusat media itu beroperasi setiap hari mulai 27 April hingga 10 Mei ini antara 8 pagi dan 10 malam selain menyediakan maklumat berkaitan PRU14 termasuk mengenai program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tempoh pilihan raya.

"Ia turut menyediakan maklumat berkaitan pilihan raya yang lalu dan terkini, senarai calon, jumlah serta peratusan pengundi berdasarkan kaum, serta peta mengikut kawasan Parlimen," katanya kepada pemberita dalam majlis Santai Bersama Media di Pusat Media Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua pusat media itu juga berperanan membantu usaha menyebar maklumat mengenai projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di samping mengajak orang ramai supaya turun melaksanakan kewajipan mengundi.

Almain juga mengingatkan para pengamal media dengan berkata: "tidak pasti, jangan kongsi."

-- BERNAMA