Pengalaman dalam perkhidmatan awam kelebihan calon BN di Parit Buntar
Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah
PARIT BUNTAR, 1 Mei (Bernama) -- Ketokohan serta pengalaman luas dalam perkhidmatan awam yang dimiliki calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Parit Buntar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berjaya memikat hati para pengundi.
Selain itu, status sebagai anak tempatan juga menjadi nilai tambah buat bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak tersebut untuk melaksanakan misi merampas kerusi Parit Buntar daripada pembangkang.
Perkara itu diakui seorang pengundi di kawasan berkenaan Zaidi Zairul Ismail, 32, yang berkata selain berpengalaman, Abdul Puhat juga merupakan seorang calon yang dihormati penduduk tempatan.
Menurutnya, pengalaman Abdul Puhat dalam bidang perkhidmatan awam termasuk sebagai SUK merupakan satu kelebihan buat penduduk di kawasan parlimen itu sekiranya beliau menang pada PRU14 ini.
"Pengalaman beliau luas terutama dalam pentadbiran, mungkin beliau boleh bantu bangunkan Parit Buntar," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Bagi Mohd Yunus Leman, 65, seorang peniaga kedai runcit pula, Abdul Puhat mempunyai kelebihan untuk mendapatkan sokongan pengundi kerana beliau merupakan anak tempatan berbanding penyandang kerusi sekarang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa daripada Parti Amanah yang bertanding menggunakan logo dan nama PKR.
"Beliau (Abdul Puhat) merupakan anak tempatan dari Tanjung Piandang, beliau pasti akan beri saingan yang hebat untuk penyandang yang tidak kurang popular di kawasan ini," katanya.
Selain Mujahid yang berasal dari Pulau Pinang dan memegang kerusi Parit Buntar sejak dua penggal lepas, Abdul Puhat juga berdepan calon PAS, Ahmad Azhat Sharin, juga anak tempatan, pada PRU14.
Abdul Puhat, 60, berkhidmat sebagai SUK Perak bagi tempoh 30 Dis 2011 hingga 24 April 2018 dan sebelum itu pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian dari 2004 hingga 2007.
Sementara itu, Abdul Puhat ketika ditemui berkata dua perkara utama yang akan diperjuangkan olehnya ialah berkaitan petani dan nelayan.
"Masalah besar berkaitan nelayan yang memerlukan perhatian segera ialah isu pemansuhan lesen operasi bot pukat kenka dan isu pencerobohan kawasan yang menjejaskan hasil pendapatan nelayan."
"Nelayan pukat kenka mempunyai lagi dua tahun sebelum pemansuhan sepenuhnya pada 2020, jadi kita perlu memikirkan cara bagi menyediakan nelayan ini dengan peralatan baharu untuk pergi ke laut dalam," katanya yang berjanji akan berbincang dengan Jabatan Perikanan negeri untuk mencari penyelesaian.
Mengenai isu petani, Abdul Puhat berkata beliau mahu menyelesaikan masalah pesawah yang menghadapi pengeluaran padi yang agak rendah.
"Sekarang pengeluaran padi tahunan dari kawasan sekitar Parlimen ini adalah kurang jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain yang jauh lebih banyak, kita akan selesaikan masalah kerosakan pada padi ini," katanya.
-- BERNAMA