Manifesto BN Teluk Intan jamin kesejahteraan penduduk
TELUK INTAN, 1 Mei (Bernama) -- Penduduk Teluk Intan akan terus menikmati pembangunan dan kesejahteraan menerusi manifesto Barisan Nasional (BN) Parlimen itu sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dilancar hari ini.
Bertemakan 'Majulah Teluk Intan, #untukmudenganmu', manifesto yang mengandungi lapan teras utama itu dilancarkan calon BN bagi Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Mah, yang juga Presiden Gerakan berkata manifesto tersebut selari dengan keperluan penduduk Teluk Intan yang dahagakan kemajuan.
"Manifesto ini mengutamakan semua lapisan masyarakat, tidak kira tua, muda mahupun pelajar sekolah selain meningkatkan peluang pekerjaan menerusi transformasi ekonomi Teluk Intan.
"Antara kandungan manifesto itu adalah menjadikan Teluk Intan sebagai hab perindustrian, membina Pusat Transformasi Bandar (UTC), menaik taraf prasarana Hospital Teluk Intan dan menyediakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah," katanya ketika berucap melancarkan manifesto khas BN Teluk Intan di sini, hari ini.
Menurut Mah, bagi menggalakkan pemilikan rumah sendiri, manifesto itu turut menawarkan penambahan 500 unit di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk Fasa 2 dan 3, selain memastikan kelancaran pembinaan hampir 1,000 unit rumah mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Mah berkata sejak tiga tahun lepas, landskap Teluk Intan telah ditransformasikan dengan pembinaan tiga projek utama iaitu susur keluar Teluk Intan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Rancangan Tebatan Banjir.
Antara inisiatif yang ditawarkan dalam manifesto berkenaan ialah membantu warga Teluk Intan yang kurang berkemampuan; memberi air percuma 30 meter padu kepada golongan miskin dan 90 meter padu kepada rumah ibadat, menaik taraf Menara Condong Teluk Intan dan membina 'Laluan Warisan Anson' serta Muzium Warisan Teluk Intan bagi mempromosikan warisan tempatan.
Turut ditawarkan pemasangan kamera litar tertutup di kawasan berisiko tinggi serta memperkasakan peranan anggota polis, Rela dan Community Policing Teluk Intan; menyediakan khidmat bimbingan untuk perniagaan Kendera Saji (Food Truck) dan Jualan Motor Bergerak untuk penduduk tempatan; mengembangkan industri berasaskan sektor hiliran komoditi serta meningkatkan peluang pekerjaan terutama bagi golongan belia.
Pada PRU14, Mah akan berdepan saingan tiga penjuru melibatkan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang bertanding menggunakan nama serta logo PKR serta seorang calon PAS, Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.
-- BERNAMA