OJ janji teruskan usaha Syed Abas di Balung




File Bernama

TAWAU, 1 Mei (Bernama) -- Mengakui pemilihannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung melibatkan restu Datuk Seri Syed Abas Syed Ali selaku penyandang, Datuk Osman Jamal hari ini berjanji untuk menyambung segala usaha bekas wakil rakyat itu di DUN berkenaan.

Lebih dikenali sebagai 'OJ', Osman turut berjanji untuk menjadikan Syed Abas sebagai penasihatnya dalam merancang pembangunan di Balung sekiranya dipilih mewakili rakyat di situ.

"Tidak mungkin saya menjadi calon BN untuk DUN Balung pada hari ini jika penyandang kerusi Datuk Seri Syed Abas tidak memberi laluan kepada saya," katanya yang berkongsi cerita di hadapan penduduk Kampung Checkpoint di Jalan Tawau-Kunak, dekat sini hari ini.

Katanya modal beliau hanyalah pengalaman selama 38 tahun selaku pegawai kanan kerajaan negeri Sabah dalam bidang pembangunan tanah, perancangan ekonomi serta industri kelapa sawit.

Osman sebelum ini merupakan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Syed Abas, calon BN bagi Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini, Osman berdepan Razali Hamzah (Parti Harapan Rakyat Sabah), Andi Rusdiana Andi Paladjareng (Warisan), Amboase Ramano (PAS) dan Alipha Jackery (USNO).

--BERNAMA