BN mahu majukan sektor pertanian di Bukit Selambau
MERBOK, 1 Mei (Bernama) -- Beberapa perkampungan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di bawah Parlimen Merbok bakal dimajukan dengan sektor pertanian sebagai sumber pendapatan tambahan kepada penduduk di situ.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata perkara itu bakal menjadi fokus utamanya agar kawasan yang jauh tertinggal pembangunannya sepanjang 10 tahun lepas di bawah pentadbiran pembangkang itu kembali 'bernyawa'.
"Bagi kawasan kampung, saya mahu fokus kepada usaha memaksimumkan penggunaan tanah memandangkan Bukit Selambau misalnya di Pokok Machang, Batu Belacan dan Kuala Sin, penduduknya memiliki tanah yang luas.
"Saya mahu mengkomersialkan kawasan itu dengan tanaman atau ternakan...antara fokusnya ialah tanaman seperti nanas, kelapa Matag dan durian yang mempunyai nilai pasaran tinggi dan usaha ini akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pertanian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi Walkabout Bersama Penduduk di Pekan Bukit Selambau, di sini, hari ini.
Menurutnya, satu bancian akan dilakukan membabitkan Kampung Jerai dekat sini, untuk mengenal pasti dan membantu pemilik tanah yang berhasrat mengusahakan tanah mereka.
"Tuan tanah yang betul-betul mahu mengusahakan tanah mereka, saya akan bagi sumbangan untuk mereka membina pagar sebelum memulakan penanaman...mungkin mereka boleh menanam lima pokok durian dan lima pokok kelapa sebagai permulaan.
"Kelapa Matag sebagai contoh mampu menghasilkan 150 biji buah dalam tempoh setahun, dan ia berupaya memberikan pendapatan sampingan kepada tuan tanah, mereka perlu pelbagaikan tanaman dan tidak hanya tertumpu kepada konsep tanam untuk makan," katanya.
Dalam pada itu, Tajul Urus berkata perancangan dan impian tersebut bagaimanapun tidak akan terlaksana seandainya masyarakat di kawasan Parlimen Merbok khususnya DUN Bukit Selambau, tidak menterjemahkan sokongan mereka dengan memberi mandat kepada calon BN untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
"Selain sektor pertanian, saya juga akan menyarankan agar sebuah RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) di DUN Bukit Selambau bagi menempatkan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk...yang mana ia akan turut merancakkan kembali aktiviti ekonomi di kawasan ini.
"Semua calon BN bersedia untuk memberi khidmat kepada penduduk di sini dan dengan perubahan sokongan yang kini dilihat memihak kepada BN, saya yakin penduduk akan membuat keputusan yang bijak, seterusnya memilih BN," katanya.
PRU14 bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Merbok yang sebelum ini disandang Prof Dr Ismail Daut daripada BN (yang menang dengan majoriti 4,122 undi), iaitu antara Tajul Urus yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, menentang dua lagi calon, Nor Azrina Surip (PKR) dan Ahmad Fauzi Ramli (PAS).
DUN Bukit Selambau yang sebelum ini dimenangi R Krishnamoorthy (PKR) dengan majoriti tipis 530 undi pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN daripada MIC GS Jaspal Singh, R Summugam (PKR) dan Mohd Ali Sulaiman (PAS).
-- BERNAMA