Pengayuh beca Melaka nyatakan sokongan kepada BN




MELAKA, 1 Mei (Bernama) -- Kira-kira 300 pengayuh beca pelancongan di sini menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) memandangkan parti itu telah banyak membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dialami mereka selain mudah didekati rakyat.

Kamal Fasha Amir Fasha, 74, yang lebih 40 tahun menyara kehidupan keluarga dengan mengayuh beca berasa terharu atas keprihatinan kerajaan negeri apabila tradisi perkhidmatan beca konvensional masih diteruskan di negeri itu sehingga kini.

"Saya berasa amat bersyukur kerana dengan pendapatan hasil mengayuh inilah saya membesarkan anak-anak. Oleh itu, saya berharap agar kerajaan negeri akan terus membela nasib dan menjaga kebajikan kami tanpa mengira musim.

"Jika tidak kerana mereka yang memelihara warisan ini, tak tahulah apa nasib penarik beca konvensional seperti kami, mungkin dah digantikan dengan kaedah yang lebih moden seperti beca elektrik," katanya kepada pemberita selepas sesi ramah mesra pengayuh beca Melaka di Banda Hilir di sini, hari ini.

Sementara itu, calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, Lee Chong Leng memberi jaminan bahawa tidak akan ada operasi beca elektrik di pusat tumpuan pelancongan Banda Hilir sekiranya BN terus diberikan mandat.

"Saya akan memastikan bahawa tiada perkhidmatan beca elektrik dalam kawasan Kota Melaka, sekiranya ada, perancangan tersebut (beca elektrik) boleh laksanakan di luar (Kota Melaka).

"Saya mahu tradisi ini terus dipelihara demi masa depan pengayuh beca dalam terus memajukan industri pelancongan negeri," katanya.

Dalam majlis itu juga pengayuh beca negeri itu diangkat sebagai duta BN dan akan memainkan peranan bagi berkongsi kisah sumbangan kerajaan di bawah pimpinan UMNO dan BN kepada rakyat selama mentadbir negara ini.

-- BERNAMA