Tindakan potong gambar pemimpin dari poster tidak wajar - Hishammuddin
KLUANG, 1 Mei (Bernama)-- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyifatkan tindakan memotong gambar seorang pemimpin pembangkang pada papan iklan kempen sebagai tidak wajar.
Beliau berkata biarpun papan iklan itu didapati menyalahi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan namun masih terdapat cara yang lebih berhemah yang boleh dilaksanakan (bagi menanganinya).
"Saya pun tidak suka dan setuju. Saya tidak tahu pihak mana, sama ada pihak berkuatkuasa tempatan ke atau pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong gambar tetapi tidak kira pemimpin mereka atau pemimpin kita, walaupun melanggar undang-undang atau peraturan, saya rasa tindakan itu tidak wajar.
Kalau sepanduk tidak sesuai turunkan sepanduk itu. Hendak potong-potong muka, wajah, saya rasa bukan perkara yang saya secara peribadi setuju," kata beliau kepada pemberita pada program Sesi Santai bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Berasau, Kahang, di sini.
Hishammuddin, yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong itu diminta mengulas mengenai penularan sebuah video di laman sosial yang menunjukkan tindakan seorang lelaki dipercayai dari pihak berkuasa memotong wajah Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada sebuah papan iklan kempen pilihan raya di Ayer Hitam.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas itu berkata semua pihak harus mengambil perhatian mengenai perkara terbabit agar tidak berlaku lagi di masa mendatang.
SPR sebelum ini menggariskan hanya gambar Presiden dan Timbalan Presiden parti sahaja boleh digunakan untuk bahan kempen pilihan raya manakala individu-individu lain tidak dibenarkan.
Sementara itu, Hishammuddin berkata kemenangan PAS di atas kes saman terhadap Sarawak Report semalam menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak agar meneliti dan mengkaji sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum melontarkan sebarang dakwaan.
"Itu merupakan proses biasa kerana sesiapa yang dituduh mesti membersihkan nama masing-masing sama ada ia memerlukan penghakiman di luar negara atau tidak? kerana siapa pihak luar ini (Sarawak Report) hendak kata macam-macam kepada negara kita"
"Kita ada demokrasi dan negara kita sudah merdeka, berdaulat. Jangan benarkan pihak luar cuba untuk menentukan suasana landskap politik kita," katanya.
Mengulas mengenai lawatan beliau hari ini, Hishammuddin berkata hubungan kerajaan BN dengan masyarakat Orang Asli bukan berbentuk bermusim kerana banyak perancangan yang telah dan akan dibuat demi masa depan golongan itu.
Perancangan-perancangan itu termasuk yang termaktub dalam manifesto BN, antaranya menurunkan kadar keciciran pelajar-pelajar Orang Asli di sekolah dan memperbanyakkan program literasi di luar bandar.
Selain itu, melatih belia Orang Asli dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menerajui industri hijau dan penjagaan alam sekitar, katanya.
-- BERNAMA