Momentum BN untuk kembali mentadbir Kelantan bertambah baik - Mustapa
File Bernama
KOTA BHARU, 1 Mei (Bernama) -- Momentum Barisan Nasional (BN) untuk kembali mentadbir negeri ini bertambah baik berikutan seluruh jentera parti sedang bekerja kuat untuk memenangkan calon BN yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata komitmen yang ditunjukkan jentera parti itu telah meningkatkan momentum sokongan rakyat terhadap calon-calon BN yang bertanding dan bagi sesetengah kawasan, ia melebihi sokongan kepada parti pembangkang.
"Momentum ini kami telah bina sejak PRU13 (2013) apabila BN berjaya menambah kerusi Parlimen daripada dua (yang dimenangi pada PRU12) kepada lima kerusi (PRU13) manakala bagi kerusi DUN daripada enam kerusi kepada 12 kerusi," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media BN Kelantan di sini, hari ini.
BN, katanya, yang bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN pada PRU14, turut membina kekuatan melalui perkhidmatan kepada rakyat secara berterusan bukan sahaja oleh wakil rakyatnya, malah kesemua ketua bahagian UMNO yang bukan daripada kalangan wakil rakyat menawarkan khidmat secara konsisten.
Selain itu, Mustapa berkata pihaknya berjaya menyatupadu dan memperkukuh perpaduan seluruh anggota parti itu sehingga kini tiada perpecahan yang boleh melemahkan sasaran memenangi PRU14.
Beliau berkata BN Kelantan juga menawarkan manifesto PRU14 yang komprehensif dan mampu menarik perhatian rakyat untuk menilai tujuh jaminan utama dan 60 tawaran untuk dilaksanakan sebaik diberi mandat mentadbir negeri ini.
"BN Kelantan juga menampilkan barisan calon yang mewakili semua golongan termasuk penjawat awam, wanita, pendidik, korporat, profesional, ulama selain calon muka baharu dan calon muda," katanya.
Beliau turut memuji sikap orang ramai yang mahu mengekalkan keamanan dalam kehangatan tempoh berkempen yang memasuki hari keempat hari ini sejak Sabtu lepas. Tempoh berkempen ialah 11 hari.
-- BERNAMA