Ahmad Husni cipta lagu pikat pengundi Tambun
IPOH, 1 Mei (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tambun menghasilkan lagu 'Tambun Untuk Tambun' bagi memikat hati pengundi dalam PIlihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau mendapat ilham menghasilkan lirik dan melodi lagu tersebut tiga hari sebelum pengumuman calon BN Perak dan yakin ia akan membawa suasana positif sepanjang tempoh berkempen.
"Kita tidak menggunakan pendekatan menyerang semasa tempoh berkempen. Lagu ini akan membawa kita bersama-sama dan terus kuat dalam pilihan raya ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri 'Jom Minum Pagi Bersama Penduduk Manjoi' di Kampung Tengku Hussin Baru di sini hari ini.
Antara bait-bait dalam lagu itu ialah 'Tambun untuk Tambun, Tambun Bumi Kita. Mari Kita Bersama Mempertahankan Tambun', 'Kita bangunkan Tambun untuk anak kita', 'Kita bangunkan Tambun di bawah Barisan Nasional', 'Bersama Barisan Nasional kita terus mara'.
Pada PRU14, Ahmad Husni yang menyandang kerusi Parlimen Tambun sejak 1995 akan dicabar Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Muhamad Zulkifli Mohd Zakaria.
Ahmad Husni telah meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua pada 27 Jun 2016 dan turut meletakkan kesemua jawatannya dalam UMNO di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Namun, beliau hanya kekal sebagai Anggota Parlimen Tambun. Pada PRU13, beliau mempertahankan kerusi Parlimen Tambun.
Beliau yakin BN akan mencatat kemenangan dengan majoriti lebih besar di kerusi Parlimen Tambun dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Hulu Kinta yang ditandingi Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Hanafiah dan Mohamad Ziad Mohamed bagi Manjoi.
Beliau berkata sentimen di peringkat akar umbi adalah memberangsangkan pada PRU14 berbanding pilihan raya sebelum ini.
"Saya percaya BN akan menguasai kerusi Parlimen dan DUN. Selain itu, jentera pilihan raya BN dan UMNO adalah pada tahap terbaik.
"Kita bukan mula berkempen selepas hari penamaan calon sebaliknya kita bertiga telah bekerja sepenuh masa sejak lima tahun yang lepas. Ia menjadi budaya di Tambun? Kami adalah pemimpin rakyat yang sebenar," katanya.
-- BERNAMA