Penduduk Kuala Langat bakal nikmati 'ganjaran' Jika BN menang pada PRU14




KUALA LANGAT, 1 Mei (Bernama) -- Penduduk di Kuala Langat bakal menikmati 'ganjaran' jika BN berjaya merampas semula kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata 'ganjaran' itu meliputi semua kaum di kawasan tersebut termasuk Orang Asli.

"Saya berjanji jika BN menang semula di Kuala Langat saya akan turun semula di sini 120 hari selepas 9 Mei ini (hari pengundian) untuk bangunkan projek perumahan rakyat (PPR) khas untuk penduduk Kuala Langat.

"Selain itu, saya akan usahakan juga supaya ada tabung perumahan untuk kaum India dan buat perumahan untuk kaum ini di kawasan-kawasan estet selain menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi Orang Asli di Pulau Carey serta bantuan skim mikrokredit kepada kaum Cina golongan B40," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap pada program lawatan kerja ke Parlimen Kuala Langat di Pulau Carey di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar, calon BN untuk kerusi Parlimen Kuala Langat Shahril Sufian Hamdan dan tiga calon BN untuk kerusi DUN iaitu Datuk Sulaiman Abdul Karli (Sijangkang), Ng Siok Hwa (Banting) dan Rozana Kamarulzaman (Morib).

Ahmad Zahid turut memberi jaminan sekiranya BN berjaya merampas semula Selangor pada PRU14 ini, rakyat tidak akan dibebani dengan masalah air dan infrastruktur seperti jalan rosak yang gagal ditangani oleh kerajaan negeri ketika ini.

"Jika BN berjaya ambil semula Selangor, tiada lagi masalah air, semua akan diselesaikan sebaik-baiknya dan jika mereka (kerajaan negeri) tidak boleh selesaikan, biar kerajaaan negeri baharu selesaikan.

"Longkang tersumbat dan jalan tidak naik taraf kita akan pantau dan selesaikan. Saya akan tolong Selangor dan bela nasib orang Selangor yang selama 10 tahun ini tertinggal dan terkebelakang," katanya.

Ahmad Zahid dalam pada itu mengingatkan jentera BN Selangor supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua calon BN yang bertanding pada PRU14 bagi memastikan parti itu tidak akan tewas buat kali ketiga.

"Analisis saya mengapa keadaan ini (BN tewas) berlaku pertama kali pada PRU12 ialah kerana mereka (pakatan pembangkang) berjaya wujudkan gelombang kebencian amat luar biasa kepada kepimpinan kerajaan Selangor ketika itu.

"...dan kita dalam BN dan UMNO Selangor turut terbuai dan tenggelam dengan gelombang kebencian itu¦ kita benci pemimpin bahagian masing-masing dan kepimpinan utama Selangor sebab kita terbuai dengan mimpi di siang hari, bukan kerana mereka (pembangkang) kuat," katanya.

Namun, timbalan perdana menteri berkata selepas 'terperuk' dua kali (tewas pada PRU12 dan PRU13) beliau yakin BN kini berada di landasan terbaik untuk merampas semula Selangor.

Itu, katanya, berdasarkan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh jentera parti selain kejayaan menyelesaikan masalah dalaman dalam kalangan pemimpin dan akar umbi.

"Jangan biar 'lumpur' terpalit lagi. Kita buang lumpur itu sebab Selangor telah dizalimi selama dua penggal ini maka kita perlu ambil alih semula demi memastikan kebajikan rakyat Selangor terbela," katanya.

-- BERNAMA