Pertandingan empat penjuru di Hulu Kinta beri kelebihan pada BN




IPOH, 1 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Tambun tidak menolak pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta akan memberi kelebihan kepada mereka untuk mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei depan.

Penyandangnya Datuk Seri Aminuddin Md Hanafiah berkata persaingan empat penjuru itu akan menyebabkan berlaku perpecahan undi membabitkan penyokong PAS dan PKR yang satu ketika dahulu bergabung membentuk pakatan menentang BN di Tambun.

"Kelebihan untuk kekalkan kemenangan kita di Hulu Kinta pada ketika ini adalah disebabkan perpecahan undi yang berlaku antara PAS dan PKR.

"Namun, kita akan terus bergerak dan mengharapkan pengundi-pengundi mengambil kira perkhidmatan yang telah disediakan ditambah manfaat yang telah diperoleh daripada perkhidmatan terbabit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran anjuran Dewan Komuniti Kampung Tersusun Batu 8 di sini, hari ini.

Pada PRU14, Aminuddin dicabar calon PAS Mat Salleh Said; Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR) dan S. Murugiah (BEBAS).

Pada PRU13, Aminuddin yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tambun memenangi kerusi DUN Hulu Kinta dengan majoriti 6,118 undi menewaskan calon PKR, M.A Tinagaram dan calon Bebas, Sulaiman Zakariya.

Aminuddin berkata meskipun mencatat keputusan selesa pada PRU13, beliau tidak memandang rendah keupayaan calon parti lawan khususnya PAS dan PKR.

"Kita tak mahu dabik dada, cuma bagi kita siapa yang buat kerja lebih dia akan dipilih untuk mewakili rakyat untuk menyuarakan aduan, pandangan dan keutamaan yang dimahukan," katanya.

Selain itu, katanya, jentera parti merupakan tunjang utama yang akan menjadi penentu kepada kemenangan BN di Tambun pada PRU14.

Beliau juga berkata dengan sokongan lebih 5,000 anggota selaku jentera parti, kemungkinan sasaran untuk meningkatkan majoriti undi dapat direalisasikan.

-- BERNAMA