Pengundi Langkawi perlu pilih pemimpin daripada parti kukuh- Nawawi Ahmad




ALOR SETAR, 1 Mei (Bernama) -- Para pengundi khususnya di Langkawi dinasihat agar memanfaatkan hari pengundian 9 Mei depan dengan memilih calon daripada parti yang benar-benar bekerja untuk rakyat serta telah terbukti pencapaiannya dalam membangunkan negara, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Beliau berkata rakyat juga perlu sedar bahawa hanya pemimpin daripada parti yang kukuh sahaja akan mampu berkhidmat dengan membawa perubahan serta penambahbaikan bagi keselesaan rakyat.

"Saya harap penduduk di Langkawi memilih dengan bijak. Fikirkan setiap bakti yang kerajaan BN telah berikan sehingga Langkawi berada pada tahap hari ini? bukan bermakna saya mengajak agar tidak mengakui jasa bekas pemimpin yang telah menerajui negara selama 22 tahun itu.

"...tetapi apa yang telah beliau berikan sudah menjadi tanggungjawab sebagai perdana menteri ketika itu malah, beliau mampu merealisasikan segala wawasan yang dicorakkan hasil dukungan anggota dan kekuatan BN dan UMNO yang berada di belakang beliau," katanya dalam sidang media di sini.

Nawawi yang juga penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu berkata dengan terus bersama BN, rakyat akan menikmati manfaat besar menerusi peruntukan RM1.315 bilion bagi lima projek baharu yang telah direncana oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Kepada pengundi di Langkawi, zahirkanlah terima kasih anda kepada parti yang memberi keuntungan untuk masa sekarang dan masa depan generasi kita kelak," katanya yang mengakui tanpa platform BN, beliau sebagai wakil rakyat sebelum ini juga tidak berupaya berkhidmat untuk menabur bakti kepada rakyat.

Nawawi turut mengingatkan para pengundi agar memilih calon anak tempatan yang tinggal di kawasan sendiri daripada memberi kepercayaan kepada calon yang hanya terlihat (datang) secara bermusim ke kawasan masing-masing.

PRU14 Parlimen Langkawi bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Nawawi dan pencabarnya Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding sebagai calon PKR dan calon PAS, Zubir Ahmad.

Pada PRU13 yang lepas, Nawawi menang selesa di kawasan itu dengan majoriti 11,861 undi menewaskan Ahmad Abdullah (PKR) dan Marina Hussein (Bebas).

-- BERNAMA