Kemenangan calon BN di Bagan Serai jamin khidmat berterusan kepada rakyat
BAGAN SERAI, 1 Mei (Bernama)-- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini meminta pengundi memastikan kemenangan cemerlang calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bagan Serai dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau, yang juga Pengerusi BN negeri berkata kemenangan calon BN adalah perlu untuk membolehkan pembentukan kerajaan di peringkat negeri dan pusat.
"Saya harap sokongan dapat diberikan kepada calon BN kerana mereka merupakan anak tempatan dan bukannya calon yang diimport dari luar seperti yang dilakukan pembangkang.
"Kemenangan itu akan membolehkan calon BN memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hak milik Rancangan Tanah Berkelompok Batu 38/40 Jalan Keretapi Mukim Beriah dan penempatan semula Kampung Tersusun Kuala Gula, Mukim Kuala Kurau di sini, hari ini.
Bagi PRU kali ini, BN meletakkan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Serai, manakala tiga calon BN yang bertanding di kerusi DUN ialah Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Datuk Zaili Cha (Gunong Semanggol) dan Mohamad Noor Dawoo (Selinsing).
Zambry berkata kerajaan BN juga bukan kerajaan yang kejam tanpa memberi perhatian kepada masalah rakyat termasuk masalah hak milik tanah.
Beliau berkata penyelesaian masalah tanah bukan sesuatu yang mudah kerana ia terpaksa mengambil masa yang panjang.
"Sesetengah orang tidak faham ini. Berbanding pembangkang yang boleh menjanjikan buat itu...ini, tetapi tidak ditunaikan.
"Pembangkang ber cakap dengan penuh pembohongan mendakwa 3,872 hektar tanah telah diluluskan (untuk beri hak milik) oleh kerajaan negeri semata-mata untuk mencari duit pilihan raya, sedangkan ini kes kelulusan tanah pada 1998 dan ia baru diwartakan pada 2018," katanya.
-- BERNAMA