65,000 rumah mampu milik dibina di Pulau Pinang jika BN dapat mandat




File Bernama

GEORGE TOWN, 1 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan memenuhi janjinya untuk membina 65,000 rumah mampu milik di Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun akan datang jika diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata ini untuk memastikan rumah kos rendah dan rumah kos sederhana dibina untuki rakyat Pulau Pinang dan juga memastikan rumah itu mampu dibeli oleh golongan pekerja.

"Kami amat yakin dapat memenuhi janji tersebut mengikut kemampuan dan sumber kami. Bagaimanapun, kami memerlukan sokongan dan mandat rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata BN boleh melaksanakan rancangan itu dengan mendapat sokongan rakyat, kebanyakan mereka ingin memiliki rumah sendiri.

Semasa melancarkan Manifesto BN bagi PRU14 di Axiata Arena, Bukit Jalil, bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk menyediakan 65,000 rumah mampu milik di Pulau Pinang.

Teng yang juga calon BN bagi kerusi DUN Tanjong Bungah berkata, tidak ada pembangunan rumah kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP dalam tempoh 10 tahun menerujui pentadbiran negeri ini

Beliau berkata pemaju perumahan dikehendaki membina 30 peratus kuota rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah PPR di lokasi yang sama sebagai keseluruhan projek.

"Rakyat juga telah mengadu mengenai harga rumah yang mahal. Inisiatif kami juga termasuk menubuhkan dana tanpa faedah untuk pembeli yang layak untuk rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah PPR," kata beliau.

Teng yang juga pengerusi Gerakan Pulau Pinangjuga berkata BN bercadang untuk memperkenalkan skim sewa-beli rumah selain menetapkan harga RM40,000 termasuk tempat letak kereta percuma untuk unit kos rendah.

Beliau berkata, untuk unit kos sederhana, harganya ialah antara RM80,000 hingga RM120,00 termasuk tempat letak kereta percuma.

Pada PRU14, Teng menghadapi pertembungan empat penjuru di Tanjong Bungah melibatkan calon DAP Zairil Khir Johari, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Chua Cheong Wee dan calon Parti Bersama Malaysia (MU) Lee Zheng Yong.

-- BERNAMA