Lawat rumah ke rumah pendekatan Mastura tarik pengundi
KUALA KANGSAR, 1 Mei (Bernama) -- Menggunakan pendekatan secara peribadi dengan melawat rumah ke rumah untuk mendekati hati pengundi adalah fokus utama yang dilakukan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Kangsar ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Datin Mastura Mohd Yazid berkata agak mustahil untuk berjumpa dengan semua penduduk di parlimen itu, namun beliau percaya kaedah itu dapat menarik hati pengundi sekali gus diterjemahkannya dalam bentuk undi pada 9 Mei nanti.
"Alhamdulillah setakat ini maklum balas daripada penduduk sangat baik, insya-Allah dengan izin Allah ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi kerana undi itu adalah segala-segalanya untuk saya meneruskan kerja yang saya buat selama dua tahun.
Saya harap pengundi di Kuala Kangsar undi saya supaya saya dapat meneruskan kerja saya kerana saya rasa terlalu banyak perkara yang masih perlu dibuat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Penyandang kerusi parlimen itu juga berkata beliau akan memikat hati pengundi muda antaranya dengan menggunakan pendekatan laman sosial dan berjumpa mereka secara berkumpulan sepanjang kempen itu.
Mastura yang kali pertama berkempen berkata beliau kini melalui pengalaman yang pernah dirasai oleh keempat-empat anaknya ketika mereka berkempen tanpa beliau pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar pada 2016.
"Mereka ketika itu (PRK Kuala Kangsar) berkempen tanpa saya dengan tekanan-tekanan lain yang perlu dilalui. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada jentera yang begitu gigih, siang dan malam membantu saya, tanpa mereka saya tidak mungkin akan mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata sekiranya BN diberi mandat di parlimen itu beliau akan merancang pelbagai pembangunan untuk tempoh lima tahun dengan kerjasama ketua-ketua kampung serta agensi dan jabatan kerajaan yang berkenaan.
"Saya juga akan merangka satu blueprint untuk Parlimen Kuala Kangsar yang diimpikan oleh orang Kuala Kangsar, namun dalam masa yang sama ia juga terikat pada bajet dan juga perancangan di peringkat pusat," katanya.
Pada PRU14, Mastura akan mempertahankan Parlimen Kuala Kangsar dan dicabar Khairil Idham Lim Abdullah daripada PAS dan Dr Ahmad Termizi Ramli (PKR-Amanah).
-- BERNAMA