Calon BN Kayang tidak bagi ruang lawan curi perhatian pengundi
KANGAR, 1 Mei (Bernama) -- Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang dianggap kawasan selamat bagi Barisan Nasional (BN), calonnya Hamizan Hassan tidak akan membiarkan parti lawan mencuri tumpuan pengundi sehingga hari mengundi 9 Mei ini.
Katanya ketiadaan isu tempatan yang berkesan untuk digunakan oleh calon-calon parti lawan bukan bermakna beliau boleh berkempen sesuka hati atau memilih kawasan.
"Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini adalah cabaran untuk menarik rakyat setiap peringkat bukan sahaja golongan muda selain turut memastikan mereka menyokong agenda kerajaan BN untuk mentransformasikan negara.
"Dalam hubungan ini, kita perlukan kerajaan yang kuat supaya perancangan yang dibuat boleh dilaksanakan tanpa gangguan. Sebab itu kita perlu mencapai kemenangan selesa," kata Hamizan, 43 dalam sembang santai dengan pengamal media di Perlis di sini, hari ini.
Beliau berkata kajian yang dibuat mendapati hampir 70 peratus daripada 9,827 pengundi berdaftar menyokong UMNO manakala bakinya sama ada menyokong pembangkang ataupun atas pagar termasuk 400 pengundi yang tinggal di luar Perlis.
Katanya beliau juga semakin selesa keluar berkempen kerana sejak hari pertama diiringi bekas penyandang DUN tersebut Ahmad Bakri Ali yang juga Anggota Pengerusi Jawatakuasa Pertanian dan Hubungan Sempadan Negeri.
"Sebagai ketua Pemuda UMNO bahagian Kangar dan bendahari Pemuda UMNO Perlis sejak 2013, saya sentiasa mendampingi masyarakat kampung," kata Hamizan.
Pada PRU14 ini, beliau dicabar calon PAS Md Radzi Hassan, 60 dan calon muda Abdul Hannaan Khairy, 25 (PKR-PPBM).
-- BERNAMA