Wujud Universiti Awam, bina 1,000 rumah mampu milik antara janji BN Ledang




MUAR, 1 Mei (Bernama) -- Mewujudkan universiti awam, membina 1,000 rumah mampu milik dan menaik taraf Hospital Tangkak adalah antara tawaran menarik dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Ledang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Ledang merangkap calon Parlimen kawasan itu, Datuk Hamim Samuri berkata perkara tersebut terkandung dalam manifesto yang memfokuskan kepada lima perkara iaitu ekonomi nan sejahtera, infrastuktur dan kemudahan awam, pendidikan, keselamatan dan agama.

"Saya boleh katakan 90 peratus daripada manifesto itu mendapat lampu hijau daripada kementerian berkaitan dan restu daripada BN Johor. Kita doa BN menang dan terus diberi mandat supaya semua perkara dalam manifesto ini dapat dilaksanakan," katanya selepas melancarkan Manifesto BN Ledang dekat sini hari ini.

Turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak Goh Tee Tee, calon DUN Gambir Datuk M. Asojan dan calon DUN Serom Datuk Rahim Talib serta kira-kira 1,000 jentera BN parlimen berkenaan.

Tawaran lain terdapat dalam manifesto itu ialah membuka tapak baharu pasar tani, mewujudkan pusat hab halal serta mewujudkan pusat pengumpulan dan penjualan industri kecil dan sederhana (IKS) di bawah ekonomi nan sejahtera.

Sementara dalam bidang pendidikan, antaranya membina sebuah lagi sekolah berasrama penuh dalam parlimen itu, membina sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di DUN Gambir dan menaik taraf infrastruktur bilik darjah sekolah di Tangkak menjadi bilik darjah Pendidikan Abad ke-21 (PAK21).

Di bawah fokus keselamatan pula, sebuah pondok polis cawangan Tangkak Jaya bakal diwujudkan, meningkatkan tahap penjagaan dan jaringan keselamatan penduduk sertan menambah anggota polis di Parit Bunga.

Selain menaik taraf Hospital Tangkak kepada hospital kluster, di bawah infrastruktur dan kemudahan awam, turut diwujudkan sebuah poliklinik kesihatan, stadium mini dan laluan basikal serta membina semula Terminal Bas dan Teksi Tangkak.

Turut dicadangkan ialah menyegerakan pembinaan Pusat Pentadbiran Tangkak, menambah lampu jalan sepanjang jalan raya utama Tangkak-Bekoh dan kawasan kampung serta cadangan pembinaan Pusat Transformasi Luar Bandar atau Pusat Transformasi Bandar.

Sementara dalam bidang agama, lebih banyak sekolah agama bakal dibina, membaik pulih lebih banyak surau dan masjid serta memperluas Program Pendidikan Islam Digital kepada sekurang-kurangnya sebuah Sekolah Agama Kerajaan Johor seperti dilakukan di Kluang dan Johor Bharu.

-- BERNAMA