Khairy dapat sokongan masyarakat India Kampung Ladang Sagga
REMBAU, 1 Mei (Bernama) -- Sambutan hangat yang diterima Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin ketika mengadakan siri walkabout selama sejam di Kampung Ladang Sagga di sini, hari ini jelas menunjukkan sokongan masyarakat India kepada kepimpinannya.
Meskipun disogok pembangkang supaya memboikot Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau ekoran tidak berpuas hati dengan kemenangan tanpa bertanding Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Sabtu lepas, realiti sebaliknya berlaku apabila rata-rata mereka menunggu peluang untuk berjumpa Khairy termasuk berswafoto bersama pemimpin itu.
M. Muniamamh , 80, menyifatkan Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN seorang pemimpin yang mudah didampingi serta mesra rakyat.
Wanita warga emas itu berkatanya, ciri-ciri kepimpinan yang ada pada susuk tubuh Ketua Pemuda UMNO itu memikat bukan sahaja seluruh rakyat di negara di ini bahkan juga kaum India.
"Khairy merupakan pemimpin yang mudah didampingi, dengan perwatakan yang selamba membuatkan masyarakat India menyukainya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
S. Savarimutthu , 56, berkata sepanjang dua penggal Khairy memegang jawatan sebagai Anggota Parlimen Rembau, kehidupan dan kebajikan masyarakat India di kawasan ini lebih terbela ditambah dengan menteri besar yang prihatin.
"Kami masyarakat India sentiasa menyokong BN, kerana apa yang dilakukan oleh mereka (BN) merupakan yang terbaik bagi negara," katanya.
Sementara itu, A. Amalorpam, 89, pula berkata kemajuan demi kemajuan dapat dilihat dikawasan itu hasil perjuangan kepimpinan BN di kawasan ini.
"Antaranya adalah peluang pekerjaan yang dahulunya tidak banyak seperti sekarang Saya dahulu hanya menoreh getah dengan penuh keringat untuk menanggung makan akan-anak tetapi sekarang anak-anak lebih banyak peluang pekerjaan untuk mereka pilih," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini, Khairy ditentang calon PAS Mustafa Dolah dan Lt. Kol (B) Roseli Abdul Ghani daripada PKR.
Pada PRU13, Khairy menang dengan majoriti 18,357 undi menewaskan dua pencabarnya Radzali A. Ghani daripada PKR dan Abdul Aziz Hassan, Bebas
-- BERNAMA