Jangan perkecilkan calon parti lain - calon BN Kota Raja
KLANG, 1 Mei (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kota Raja V. Gunalan hari ini membidas lawannya daripada Pakatan Harapan Mohamad Sabu kerana memperkecil-kecilkan pencalonan beliau untuk kerusi itu.
Ketua MIC Bahagian Sepang itu berkata tiada siapa yang patut memperkecil-kecilkan calon parti lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan.
"Mat Sabu (Mohamad) tidak boleh pandang rendah pada calon daripada mana-mana parti kerana setiap parti memilih calon mereka berdasarkan kekuatan dan keupayaan mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamad yang juga Presiden Amanah bahawa pencalonan Gunalan tidak mencabar beliau, sekali gus akan memberikannya kemenangan mudah di kerusi itu.
Mengulas lanjut, Gunalan berkata Mohamad yang mempunyai rekod tewas pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, masing-masing di Kuala Terengganu dan Pendang, Kedah, terpaksa 'lari' ke Selangor untuk mencari kerusi selamat bagi kelangsungan kerjaya politiknya.
Ini katanya berbeza dengan beliau selaku penduduk Dengkil, Selangor yang mempunyai rekod baik dari segi membantu dan menyatukan kaum India di Sepang dan ini diyakini dapat mengembalikan undi kaum India di Kota Raja kepada BN.
Mengenai manifesto untuk penduduk Kota Raja, ahli perniagaan berusia 45 tahun itu berhasrat menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin yang semakin bertambah di Taman Sentosa selain menaik taraf jalan-jalan utama di kawasan parlimen berkenaan.
"Saya juga berhasrat membuka Pusat Transformasi Bandar di Kota Raja selain mendapatkan kelulusan kerajaan membina hospital di Kota Kemuning sekiranya diberi mandat," katanya.
Kerusi Parlimen Kota Raja menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Gunalan, Mohamad dan calon PAS Mohamad Diah Baharum.
Kerusi itu disandang oleh PAS menerusi Dr Siti Mariah Mahmud yang memperoleh majoriti besar 29,395 undi, mengetepikan cabaran calon BN Datuk S. Murugesan serta dua calon Bebas P. Uthayakumar dan Azman Idrus.
--BERNAMA