Jentera parti perlu pastikan pengundi di kawasan Kelawat pilih BN
KOTA BELUD, 1 Mei (Bernama) -- Jentera Barisan Nasional (BN ) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kelawat diminta memastikan supaya lebih 1,300 pengundi di kawasan itu memberi sokongan kepada BN ketika hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.
Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ke arah itu, jentera parti perlu turun ke akar umbi dan memberi penerangan kepada pengundi di seluruh mukim Kelawat mengenai perancangan kerajaan yang diterajui BN untuk memastikan negara ini, khususnya Kota Belud, terus membangun.
Jentera parti mempunyai tanggungjawab besar untuk berjumpa rakyat di akar umbi untuk menerangkan apa pembangunan yang kita laksanakan di Kota Belud.
"Saya yakin pengundi di kawasan Kelawat ini akan memberi sokongan padu kepada calon BN bagi Dewan Undangan Negeri Kadamaian iaitu Ketua UPKO Bahagian Kota Belud Ewon Benedick dan saya sebagai calon BN di Parlimen Kota Belud kerana sudah semestinya rakyat akan memilih parti yang mampu menjadi kerajaan yang baik sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri," katanya.
Berucap ketika melakukan lawatan ke PDM Kelawat di sini hari ini, yang turut disertai Ewon, beliau berkata banyak pembangunan telah dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan Kota Belud, namun lebih banyak pembangunan yang perlu dilaksanakan dan agenda pembangunan itu hanya dapat dilaksanakan apabila BN menang pada pilihan raya ini.
-- BERNAMA