Zahid berkempen dengan menunggang kapcai





BAGAN DATUK, 1 Mei (Bernama)-- Kesibukan berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 yang masuk hari keempat hari ini tidak menghalang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa, biarpun seketika, untuk pusing keliling kampung dengan menunggang motosikal kapcai hari ini.

Ahmad Zahid, 65, pernah menyatakan bahawa motosikal terlalu dekat di hatinya kerana amat meminatinya, dan sehingga hari ini, beliau masih ada motosikal berkuasa tinggi dan kapcai.

Bermula dengan motosikal kapcai sejak menuntut di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. beliau kini sudah 40 tahun bergelar 'biker'

Malah Pengerusi Persatuan Superbike Malaysia (SAM) itu terus mencapai topi keledar lalu menunggang motosikal sebaik diminta berbuat demikian dalam Program Kembara Jalinan Kasih anjuran Jabatan Penerangan hari ini.

Sebenarnya, menunggang motosikal diperlukan untuk menjayakan program berkenaan disebabkan lima kediaman yang perlu dikunjungi dalam program itu terletak berjauhan selain perlu menempuh jalan yang agak sempit.

Apabila pulang ke kawasan, lebih-lebih lagi dalam tempoh berkempen, Ahmad Zahid seboleh-bolehnya mahu mengurangkan protokol bagi mendekatkan dirinya bertemu masyarakat setempat.

Namun akibat terlalu ghairah dapat menunggang motosikal sendiri, Ahmad Zahid tidak sedar beliau telah terlajak hampir 5 kilometer ke Pekan Bagan Datuk daripada rumah pertama yang sepatutnya beliau kunjungi.

Mujurlah seorang kakitangan Jabatan Penerangan memandu arah sehingga Ahmad Zahid kembali ke lokasi asal dan disebabkan perkara itu membuatkan suasana agak 'kelam kabut'.

Turut menyertai konvoi motosikal itu, penyandang yang juga merupakan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Pantang berjumpa penduduk setempat, pasti dilambai dan disapanya mereka, dan secara kebetulan, beliau terserempak pula dengan calon lawannya daripada PKR Pakhrurrazi Arshad yang sedang berkempen bersama jentera parti itu di Teluk Penikam.

Biarpun berlainan parti politik, Ahmad Zahid juga sanggup membuat pusingan-U dan berhenti seketika beramah mesra bersama Pakhrurrazi, yang merupakan sahabat lamanya, sebelum menyambung kembali program itu.

Dalam program Kembara Jalinan Kasih tersebut, pemimpin nombor dua negara itu mengunjungi lima buah rumah yang merupakan antara pengisian Program Majlis Kenduri Kampung bersempena Penyerahan Rumah Baik Pulih Strategi Lautan Biru Kebangsaan - Menghubung dan Menyatu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Parlimen Bagan Datuk.

-- BERNAMA