Empat kertas siasatan berkaitan PRU di Pahang




KUANTAN, 1 Mei (Bernama) -- Polis Pahang telah membuka empat kertas siasatan setakat ini berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pegawai Perhubungan Media Polis Kontinjen Pahang ACP Yahaya Othman berkata, dua kes yang berlaku di Bentong membabitkan siasatan di bawah Seksyen 4 (a) Akta Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4(1) Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

"Manakala satu lagi kes di Temerloh pula membabitkan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Anti Berita Tidak Benar 2018, dan satu lagi kes terbabit masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan media yang disiarkan di sini, hari ini.

Sementara itu, Yahaya berkata, bermula 28 hingga 30 April lalu juga sebanyak 208 permit ceramah telah dikeluarkan oleh Ketua-Ketua Polis Daerah untuk ceramah politik di Pahang oleh calon-calon dan ejen-ejen di Pahang.

Beliau berharap semua pihak dapat mengekalkan semangat berkempen yang matang sehingga tamat tempoh berkempen pada 12 tengah malam 8 Mei.

-- BERNAMA