Calon PAS akui sukar dekati golongan bukan Melayu ketika kempen
NILAI, 2 Mei (Bernama) -- Calon PAS bagi kerusi Parlimen Seremban, Shariffuddin Ahmad mengakui sukar untuk mendekati pengundi bukan Melayu sepanjang menjalankan kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Shariffuddin, yang juga Ketua Cawangan PAS Taman Semarak Nilai 2 berkata golongan bukan Melayu didapati mempunyai salah faham terhadap PAS memandangkan parti itu membawa imej Islam sekali gus sukar mendekati mereka.
"Kita (PAS) tak ada masalah sangat dengan kaum Melayu, untuk masyarakat Cina dan India agak sukar untuk didekati...bila kita jumpa, mereka dengar tetapi kurang penerimaan," katanya kepada Bernama.
Oleh itu, katanya beliau akan memberi penerangan dan pemahaman kepada pengundi bukan Melayu mengenai manifesto PAS sepanjang berkempen termasuk mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan, bantuan orang miskin dan sekolah Cina.
Kerusi Parlimen Seremban bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu antara Shariffuddin, penyandang kerusi Parlimen Seremban Loke Siew Fook (PKR-DAP) dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Chong Sin Woon.
Pada PRU13, Loke memenangi kerusi itu dengan majoriti 12,553 undi menewaskan calon BN mendiang Datuk Dr Yeow Chai Thiam.
Terdapat 110,168 pengundi berdaftar di Parlimen Seremban bagi PRU14.
-- BERNAMA