Kestabilan ekonomi khususnya kaum wanita agenda calon BN bandar Kuching
Kho Teck Wan (Gambar fail)
Oleh Zaphne Philip
KUCHING, 2 Mei (Bernama) -- Sebagai kaunselor di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang amat memahami masalah penduduk daripada golongan memerlukan khususnya kaum hawa, calon Barisan Nasional (BN) Kho Teck Wan bagi kawasan Parlimen Bandar Kuching menumpukan untuk mengatasi masalah itu.
Apabila DAP mengumumkan Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen meninggalkan kawasan Parlimen Bandar Kuching yang diwakilinya selama tiga penggal untuk bertanding di kawasan Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, Kho, 42, yang merupakan ketua Wanita SUPP, sedar tangggungjawab besar yang digalasnya.
"Selama bertugas sebagai kauselor di MBKS, pelbagai aktiviti kemasyarakat pernah saya sertai, dan daripada situ pelbagai pemasalahan serta keluhan rakyat pernah saya dengar antaranya masalah kewangan dalam kalangan ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menanggung persekolahan anak-anak," katanya.
Berbekalkan semangat "Lawan Tetap Lawan", Kho dalam misi memperkasakan ekonomi penduduk bandaraya khususnya kaum wanita di kawasan Parlimen Bandar Kuching yang merupakan kubu kuat DAP itu.
Semasa ditemui Bernama dalam siri kempennya di sini, Kho berkata tidak semua yang bekerja di bandar memperoleh pendapatan tingg dan tetap dan dalam usaha membantu mereka, langkah pertama adalah dengan mengenal pasti kelompok yang memerlukan bantuan.
"Kaum wanita yang juga terpaksa bekerja untuk menyara keluarga, bantuan yang salurkan perlu dipastikan sampai tepat kepada sasaran," katanya.
Kaunselor itu berkata agenda beliau untuk memastikan tidak ada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan diyakini dapat membuka ?mata' pengundi tentang kelebihan BN yang selama ini sentiasa membantu golongan yang memerlukan.
Sehubungan itu katanya beliau akan menubuhkan satu pasukan khas dalam kalangan wanita, khusus bagi memperjuangkan hak-hak serta menangani isu-isu dalam kalangan kaum wanita di bandaraya.
"Sebagai seorang ibu, naluri keibuan membuatkan saya berasa sedih jika ada anak-anak yang kurang bernasib baik ini tercicir dalam pelajaran disebabkan tekanan hidup serta masalah kewangan. Oleh itu, saya mahu yang terbaik untuk anak-anak di masa depan seiring dengan kemajuan yang kita kecapi," katanya.
Kho berkata selaras dengan aspirasi kerajaan yang mahu memperkasa golongan wanita di Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, mahupun pegangan politik, turut menjadi agenda beliau adalah memastikan suara kaum hawa diberi perhatian sewajarnya oleh kepimpinan.
"Saya percaya dengan kehebatan yang ada dalam diri wanita dalam negara ketika ini, kita mampu untuk melahirkan lebih ramai golongan wanita, remaja dan dewasa yang berkaliber menerusi penguasaan ilmu, kemahiran serta nilai-nilai kepimpinan yang tinggi," katanya.
Kho berkata kaum wanita sudah membuktikan kehebatan dalam mencorak masa depan serta mampu mengerakkan kestabilan ekonomi negara dan peranan itu perlu diperkasakan lagi .
Pada PRU14 ini, Kho akan berhadapan dengan calon DAP yang merupakan setiausaha politik Chong, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, 31.
Kedua-dua calon merupakan muka baharu yang ditampilkan parti masing-masing.
-- BERNAMA